Bakat Baharu Perlu Dicungkil, Ditampilkan Dalam UMNO – Adzly Manas

KUALA LUMPUR, 12 Feb – UMNO perlu mencungkil bakat baharu dalam kepimpinan parti melalui pilihan raya, kata peguam yang juga aktivis politik dan masyarakat, Adzly Ab Manas.

Katanya, dengan kejayaan ini UMNO wajar mencipta lebih ramai watak-watak baharu dalam siri pilihan raya akan datang dan lebih penting dapat mengekal dan menguasai kembali negeri yang kalah pada pilihan raya lalu.

“Saya juga berharap UMNO dapat mencipta ‘watak-watak baharu kepimpinan’ terutamanya di negeri-negeri maju di pantai barat serta ‘hero-hero’ baru di negeri pantai timur dan utara negara.

“UMNO wajar membuka peluang lebih besar kepada calon-calon profesional, sekali gus memenangi dan menambat hati pengundi serta membuktikan parti itu sebenarnya tidak tandus dengan pilihan pemimpin,” katanya.

Seterusnya Adzly juga berkata ia bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO selepas apa yang dilalui oleh parti pada pilihan raya baru-baru ini.

“Kita perlu sedar bahawa dari keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, UMNO bukannya nombor satu lagi bagi rakyat Malaysia khasnya orang Melayu.

“Tapi percaya parti ini akan terus mendapat sokongan yang lebih ramai dari orang Melayu dan rakyat Malaysia jika perjuangan parti diteruskan berlandaskan perlembagaan parti dan dibantu pula dengan pendekatan Madani dalam Kerajaan Perpaduan ini,” katanya.

Dalam masa yang sama Adzly berharap bahawa dengan adanya UMNO di dalam Kerajaan Madani maka akan terus dapat memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat.

“Saya berharap penerangan berterusan kepada semua ahli dan penyokong-penyokong UMNO harus dibuat segera dan perlu ada ‘follow up’ berterusan.

“Adakan pertemuan yang berterusan seperti majlis-majlis ilmu fikir, latihan-latihan di lapangan dan sebagainya. Ianya amat perlu diteruskan sehingga tibanya PRU ke-16,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.