Isu Kerusi Parlimen Lipis: Serangan Persepsi Tempang Untuk Meracuni Kubu-Kubu Kuat UMNO Pahang

LIPIS, 10 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menyifatkan isu yang sengaja ditimbulkan mengenai kedudukan kerusinya hanyalah serangan persepsi untuk meracuni ahli dan akar umbi di Pahang.

Menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya, beliau beranggapan bahawa ada pihak yang kurang senang akan kedudukan UMNO Pahang yang semakin kukuh di bawah pimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Saya mengambil maklum mengenai perkongsian yang tular di sosial media berkaitan satu perkara yang telah sengaja diada-adakan, kerana ternyata ada pihak kurang senang dan tak keruan apabila keakraban, kedudukan UMNO Pahang semakin kukuh serta bertambah kuat dari hari ke hari di bawah kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Sampai tular suara-suara kononnya kerusi yang saya sedang sandang ini (Ahli Parlimen Lipis) akan ‘ditapau’ oleh Datuk Seri Menteri Besar Pahang yang juga Naib Presiden UMNO.

“Pada hemat saya, ini merupakan sebuah serangan persepsi yang tempang dan lemah bagi meracuni kubu-kubu kuat UMNO Pahang yang telah disinergikan dengan baik oleh buah fikir Datuk Seri Wan Rosdy di peringkat UMNO Negeri Pahang,” katanya.

Menurutnya, cubaan untuk pihak lawan melaga-lagakan mereka berdua dicanang tanpa usul periksa dan tidak disertai oleh bukti yang sahih.

“Lagi-lagi selepas satu retreat baru-baru ini diadakan melibatkan kehadiran penuh semua Ketua Bahagian UMNO Negeri dan AJK UMNO Negeri Pahang di Janda Baik.

“Ombaknya kedengaran, pasirnya tak kelihatan. Serangan untuk melaga-lagakan saya dengan YAB Menteri Besar dan cubaan melemahkan kekuatan UMNO Pahang dicanang tanpa usul periksa serta tanpa sebarang bukti yang nyata.

“Dengan tegas saya ingin merakamkan rasa hormat saya dan sokongan terhadap analog perjuangan yang dibawa oleh Datuk Seri Wan Rosdy bagi memacu negeri dan parti ini ke suatu peringkat lebih tinggi dan kalis cabaran mendatang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para pemimpin agar memberikan tumpuan kepada memberi khidmat bakti kepada rakyat daripada melayan segala serangan seperti ini.

“Percayalah kecemerlangan UMNO Pahang ini datangnya dari kekukuhan dan kekuatan peribadi Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail itu sendiri. Jika bukan sosok ini yang menerajui UMNO Pahang, bersedialah menerima siri kejatuhan UMNO Pahang seperti yang berlaku di negeri lain.

“Namun begitu, secara peribadinya saya tidak menaruh sebarang dendam terhadap mereka yang menyebarkan fitnah ini, kerana golongan sebegini akan terus menaburnya tanpa segan silu selagi jiwa mereka tidak menemui Ilahi.

“Daripada kita melayan serangan seperti ini, adalah lebih baik kita menumpukan keringat, fikiran dan langkah bagi memastikan rakyat menuju sebuah paradigma baharu berasaskan aspirasi Malaysia Madani amnya dan Negeri Pahang khususnya,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.