Pendidikan Awal Kanak-kanak Diutamakan, Kerajaan Sediakan Infrastruktur Secukupnya – Aminah

KUALA PENYU, 9 Feb – Ibu bapa perlu cakna terhadap keperluan pendidikan awal anak dengan menghantar mereka ke sekolah taska atau tadika sebagai proses awal mendedahkan mereka kepada pembelajaran.

Ahli Parlimen Beaufort Datuk Hajah Siti Aminah Aching berkata tindakan mengabaikan pendidikan awal anak bukan sahaja merugikan anak-anak itu sendiri tetapi ibu bapa juga akan kerugian.

“Pendidikan anak sejak di peringkat awal lagi perlu diutamakan agar dapat membesar dengan minda yang lebih baik dan ini akan memudahkan langkah mereka untuk meneruskan pembelajaran apabila memasuki darjah satu di peringkat sekolah rendah.

“Kerajaan telah menyediakan kemudahan pendidikan yang cukup baik dan sempurna dengan adanya Tadika Kemas atau Tadika Perpaduan sebagai satu pilihan kepada ibu bapa khususnya golongan B40 untuk menghantar anak-anak mereka memperolehi pendidikan awal,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Hari Apresiasi Tabika dan Taska Kemas bagi sesi 2023/2024 N.33 Kuala Penyu di Dewan Masyarakat Dato’ Shahbandar Makang di sini baru baru ini.

Hadir sama di majlis tersebut Pegawai Kemas Parlimen Beaufort Halcik Udeh dan Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-kanak P.177 Beaufort Helen Lawrence serta guru-guru Tadika Kemas daerah Kuala Penyu.

Menurut Aminah yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, kerajaan telah membina Tadika Kemas dan Tadika Perpaduan di kebanyakan kampung khususnya di kawasan luar bandar bagi memberi peluang kepada anak-anak mereka memperolehi pendidikan awal.

“Tadika Kemas atau Tadika Perpaduan diwujudkan bagi membantu golongan ibu bapa yang kurang berkemampuan menghantar anak-anak mereka mendapatkan pendidikan awal di mana sistem pendidikannya tidak jauh berbeza dari sistem pendidikan yang disediakan oleh tadika swasta,” katanya lagi.

Dalam pada itu Aminah yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah RISDA Semaian dan Landskap Sdn. Bhd. turut mengingatkan ibu bapa agar bersama-sama mendidik anak-anak di rumah.

“Ada sebahagian ibu bapa meletakkan usaha mendidik pada bahu guru semata-mata kerana berasa mereka tiada masa atau tiada kemahiran mendidik, sedangkan mengajar anak kecil tidak perlu secara formal malah lebih mirip kepada bermain,” katanya.

Selain itu, katanya ibu bapa juga perlu sentiasa memberikan perhatian dan sokongan terhadap kemajuan pendidikan anak-anak mereka di sekolah dan melibatkan diri dengan segala program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

Di mana jelasnya, penglibatan ibu bapa bukan saja mampu menjalin kerjasama erat bersama guru-guru dan pihak sekolah malah ia juga memberi ruang bagi mereka memantau kemajuan pendidikan anak-anak. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.