Optimumkan Penggunaan Media Sosial, Sebarluaskan Peranan UMNO – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 9 Feb – Penggunaan media sosial perlu dioptimumkan sepenuhnya oleh ahli UMNO dalam usaha menyebarluaskan pengaruh parti itu secara lebih positif kepada rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, dengan adanya pengaruh media sosial, rakyat dan pengundi khususnya pengundi muda boleh didekati dengan cara yang lebih berhemah dan bijaksana selari dengan perkembangan dunia digital masa kini.

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, pengaruh media sosial terutamanya di kalangan anak muda amat berkesan dan lebih cepat tersebar berbanding medium media yang lain.

“Kita aplikasikan media sosial untuk menyampaikan kebaikan parti kita (UMNO), janji-janji pembangunan yang boleh ditunaikan, parti yang memperjuangkan semua kaum, agama dan budaya.

“Pada masa sama, tunjukkan keikhlasan kita menerusi kepenggunaan media sosial yang berfakta, lebih meyakinkan, kreatif serta mempunyai tarikan kepada pembaca dan penonton,” katanya ketika berucap di majlis taklimat isu-isu politik semasa bersama empat kepimpinan parti dari seluruh bahagian UMNO Sabah baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi UMNO negeri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Ahli MKT Datuk Mohd Rafi Ali Hassan; Datuk Rosnah Rashid Shirlin, Setiausaha UMNO negeri Datuk Jafry Arifin dan Bendahari UMNO negeri Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO negeri Datuk Suhaimi Nasir, Ketua Wanita UMNO negeri Senator Datuk Noraini Idris, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO Sabah Sufian Abdul Karim dan Ummi Nabilah Datuk Jamal.

Jelas Bung yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, pendekatan penggunaan media sosial untuk berkempen perlu dipraktikkan dari sekarang dan semua ahli parti perlu menjadi tentera siber (cybertrooper) yang bertanggungjawab untuk mempertahankan parti dan pemimpin UMNO dari menjadi bahan tohmahan, provokasi dan fitnah pihak lawan dengan menjadikan media sosial sebagai medium mereka untuk merosakkan imej serta kekuatan parti.

Tambah beliau, masyarakat sekarang semakin cakna terhadap isu semasa terutamanya beban masalah infrastruktur asas seperti masalah jalan raya, bekalan air dan elektrik yang semakin meruncing sehingga menjejaskan kehidupan mereka seharian.

Keadaan itu katanya, menyebabkan rakyat pantas menviralkan di media sosial namun yang menjadi mangsa dan sasaran adalah parti UMNO.

“Lantas tentera siber parti lawan akan membalas dan menyerang pemimpin UMNO walaupun hakikatnya sebahagian pemimpin yang ada dalam kerajaan sekarang dahulu bersama UMNO dan seharusnya kini berada di dalam kerajaan berusaha mengatasi masalah yang diviralkan oleh rakyat.

“Kita perlu tampil mempertahankan imej parti dan pemimpin. Mendiamkan diri seperti kita mengiyakan apa yang mereka muat naik di dalam media sosial walaupun kita tahu ianya berbaur tohmahan dan fitnah untuk menjejaskan imej dan kekuatan parti UMNO,” katanya.

Bung berkata, landskap politik tanah air amat berlainan dengan aliran maklumat yang bebas sama ada melalui media massa atau media baharu, justeru pendekatan media sosial yang lebih aktif dan kreatif perlu dilaksanakan oleh pemimpin dan ahli UMNO.

Justeru katanya, pendekatan lain yang perlu dipraktikkan ialah membuat hantaran berbaur rayuan dan pujukan dalam usaha meraih undi serta simpati daripada pengundi menerusi penggunaan media sosial.

“Dalam hal ini, ramai yang menggayakan diri menerusi cara menyampaikan sesuatu, berkempen atau mengetengahkan sesuatu isu dan pandangan melalui rakaman video.

“Secara kreatif juga, ada yang melawak, ada yang menyajikan fakta serta tayangan video yang menarik dan ini semua perlu kita biasakan agar kandungan video itu lebih menarik lagi,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.