Majlis Ulama UMNO Tegaskan Pentingnya Undang-undang Syariah Sentiasa Diperkasakan

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Majlis Ulama UMNO menegaskan tentang pentingnya Undang-undang Syariah termasuk kesalahan Syariah sentiasa diperkasakan dalam negara.

“Sesuai dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan sebagaimana usaha yang telah dibuat oleh kerajaan negeri dan persekutuan yang ditadbir oleh UMNO sebelum ini.

“…yang sentiasa memperkasakan Syariah dengan memperkenalkan, menggubal dan meminda enakmen-enakmen kesalahan Syariah di negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan pada era 1980-an serta menyelaraskannya di semua negeri-negeri,” kata Majlis Ulama UMNO dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu lagi, Majlis Ulama UMNO akan bersidang dan bermuzakarah pada 15 Februari 2024 bagi membincangkan jalan ke hadapan bagi isu ini seterusnya menyampaikan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan untuk tindakan lanjut.

“Dua tokoh akademik undang-undang Islam dalam negara akan dijemput untuk membentangkan kertas kerja sebagai panduan kepada Majlis Ulama UMNO,” katanya.

Hari ini Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (1) Kelantan terbatal yang turut boleh memberi kesan kepada enakmen kesalahan Syariah di negeri-negeri lain termasuk Wilayah Persekutuan.

Alasannya ialah Dewan Undangan Negeri tidak mempunyai kuasa menggubal enakmen yang bercanggah dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru kata Majlis Ulama UMNO, isunya ialah tentang bidang kuasa yang ada pada negeri untuk menggubal enakmen pada perkara yang tersenarai sebagai bidang kuasa Persekutuan.

“Ia adalah pertembungan bidang kuasa negeri dan persekutuan sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.