Ketepi Perbezaan, Cari Titik Persamaan… Angkat Agenda Kepentingan Rakyat Bersama

IPOH, 9 Feb – Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pada hari ini melalui proses dan fasa yang memerlukan semua pihak mengetepikan perbezaan dan mencari titik persamaan demi mengangkat agenda rakyat.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Hang Tuah Din berkata, dalam konteks negeri itu, proses pembentukan Kerajaan Perpaduan di Perak bukanlah sesuatu yang mudah maka kita perlu menginsafinya.

“Kita perlu sedar, berdiri teguhnya Kerajaan Perpaduan ini khususnya di Perak bukanlah melalui detik dan proses yang mudah. Konvensyen yang telah dianjurkan adalah untuk kita insafi detik-detik ini.

“Tertegak teguh kerajaan hari ini melalui proses dan fasa yang memerlukan pihak berkongsi kuasa melakukan pengorbanan dengan mengenepikan perbezaan dan mencari titik persamaan.

“…dan titik persamaan yang semua parti dalam Kerajaan Perpaduan ada adalah meletakkan serta mengangkat agenda kepentingan rakyat sebagai keutamaan lebih dari semua perkara,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, Malaysia perlu melangkah jauh ke hadapan untuk mencapai kestabilan politik memandangkan telah hampir lima tahun masa dibazirkan dengan drama yang tidak berkesudahan.

“Negara ini perlukan kestabilan untuk terus bergerak ke hadapan, selepas hampir lima tahun masa dibazirkan dengan perang politik yang tidak sudah. Semua kesannya kini ditanggung oleh rakyat.

“Maka perlu saya ingatkan, rakyat sendiri telah muak dengan caturan segelintir politikus yang sentiasa sibuk cuba mengganggu-gugat. Hasrat rakyat jelas mahukan kerajaan yang stabil dan kukuh. Kita perlukan kerajaan yang kukuh kerana kita semua telah lihat sendiri dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, betapa kucar-kacirnya keadaan politik negara.

“Lihat sahaja sebelum tahun 2018 ketika UMNO/Barisan Nasional (BN) memerintah. Ketika itu kerajaan kukuh, negara stabil. Pembangkang juga tidak sibuk tebuk atap, mereka konstruktif yang memerlukan kerajaan bekerja keras. Negara menikmati dan mengecapi ekonomi yang cukup baik. Saya yakin, mereka rindukan kestabilan dan nikmat pembangunan yang hebat seperti sebelum 2018,” katanya lagi.

Kerajaan Perpaduan telah dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu apabila tiada satu pun parti politik yang berjaya untuk memperoleh majoriti mudah.

Keputusan PRU ke-15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

BN pada mulanya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong untuk menentukannya seperti mana turut diputuskan oleh GPS dan GRS. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.