UMNO Kudat Pelbagaikan Sentuhan, Terus Dekati Rakyat

PITAS, 8 Feb – Budaya cakna dan sentuhan antara UMNO dan masyarakat luar parti akan sentiasa ditingkatkan dan dipelbagaikan selain bersama dengan ahli.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kudat Datuk Bolkiah Haji Ismail berkata kedua-duanya cukup penting dan mempunyai peranan yang tersendiri.

“Budaya peka dengan isu serta masalah rakyat sudah menjadi budaya UMNO sejak sekian lama, ahli atau masyarakat yang ditimpa musibah akan sentiasa dibantu tanpa mengira fahaman politik bangsa dan agama,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Sentuhan Kasih UMNO Bahagian Kudat di Pejabat Penyelaras UMNO N3 Pitas baru-baru ini.

Bolkiah yang juga Pengerusi Penyelaras UMNO N.3 Pitas berkata UMNO perlu meneruskan program sentuhan kasih bersama rakyat tidak hanya tertumpu kepada program-program dalaman parti jika ingin melihat parti kekal relevan dan menarik penyertaan masyarakat luar.

“Menyebarluaskan segala program parti akan membawa kebaikan untuk memperkukuhkan kedudukan parti malah dengan pendekatan yang mesra akan mendorong orang di luar parti menyertai perjuangan UMNO,” katanya lagi.

Dalam padah itu Bolkiah yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas mengingatkan kepimpinan dan ahli parti di semua peringkat agar menggembleng tenaga untuk memperkukuhkan jentera parti khususnya dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Katanya perakuan secara lisan parti kuat tanpa sebarang pendekatan dan strategi yang tepat tidak akan membawa kejayaan.

Justeru beliau menambah jentera parti perlu diperkemaskinikan setiap masa, gerak kerja yang konsisten di samping berusaha menambah keahlian.

“Kita semua mesti terus bekerja dan berusaha memulih serta memperkasakan UMNO… sasaran kita adalah untuk kembali berkuasa dengan memenangi pilihan raya,” katanya.

Oleh itu tambahnya, UMNO mesti kuat dan tidak boleh dengan hanya bergantung kepada kelemahan parti lawan apatah lagi dipengaruhi pelbagai ramalan dari pihak luar parti.

“Kita juga mesti terus meyakinkan rakyat bahawa UMNO mampu untuk melaksanakan dasar yang terbaik pada rakyat jika diberikan semula kuasa.”

Menurut beliau, UMNO mesti terus berjuang membela dan menyuarakan isu dan masalah rakyat yang ketika ini tertekan dengan kegagalan kerajaan negeri hari ini dalam membela rakyat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.