Tolak Propaganda Ranapkan Kestabilan, Teruskan Agenda Perkukuh UMNO – Jamal Nerubi

PAPAR, 8 Feb – Ahli-ahli UMNO perlu terus fokus kepada agenda memperkukuh parti dan memastikan perjuangan terus bersemarak di semua peringkat.

Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi menekankan bahawa anggota parti perlu tolak apa sahaja propaganda dan manipulasi politik yang berlaku di persekitaran lantaran ia hanya untuk mengalihkan fokus daripada memantapkan UMNO.

“Kita mendukung institusi Presiden dengan organisasi kita yang mantap apatah lagi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sentiasa bermesyuarat dalam menentukan hala tuju dan gerak kerja termasuklah tindakan-tindakan yang sewajarnya dilaksana dalam keadaan landskap politik yang dinamik.

“Hari ini kita berpegang teguh bermuafakat dengan Kerajaan Perpaduan yang pada ketika ini adalah yang paling stabil, kukuh dan kuat dalam melaksanakan amanah bagi memastikan hala tuju negara dan rakyat.

“Apa yang penting adalah persefahaman dan komitmen semua gabungan parti politik dalam Kerajaan Perpaduan dengan kebersamaan untuk memastikan kestabilan kerajaan itu terus terpelihara,” katanya kepada UMNO Online.

Tegasnya, walaupun ada pelbagai cubaan pihak lawan untuk ganggu-gugat usaha yang dilaksana namun semuanya dapat dinafikan.

“Kita mendukung usaha kepimpinan parti biarpun ada pelbagai dakwaan negatif kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) atau kononnya kerajaan akan tumbang dan berlaku pertukaran kerajaan tetapi hakikatnya selagi sokongan akar umbi teguh maka insya-Allah kestabilan dapat dikekalkan.

“Keberadaan UMNO/BN hari ini yang terus menyemarakkan perjuangan sekali gus meranapkan dakwaan sesetengah pihak yang mahukan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan dicalarkan.”

Ujar Jamal, dalam UMNO sendiri, di akar umbi iaitu di peringkat Cawangan dan Bahagian melaksanakan aplikasi proaktif dalam menyokong usaha untuk mengembalikan negara ke landasan terbaik.

“Kita kekal dengan perjuangan kita iaitu demi agama, bangsa dan negara dan dalam masa yang sama kita tidak melupakan hasrat dalam membela dan menuntut keadilan buat mantan Presiden kita, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Namun apa-apa langkah yang kita lakukan adalah berlandaskan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang kerana kita memahami setiap tindakan akan memberi kesan maka yang terbaik adalah harapan kita,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.