Mengenang Bapa Kemerdekaan Dan Bapa Malaysia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra

HARI ini, Khamis, 8 Februari 2024 bersamaan 27 Rejab 1445(H) adalah hari keputeraan Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj dan jika ditakdirkan beliau masih hidup, usianya adalah 121 tahun.

Ketokohannya sebagai pemimpin tiada tolok banding sehingga diiktiraf dalam dunia Islam sebagai pemimpin yang dihormati oleh kawan dan lawan.

Andainya Almarhum Tunku masih berada bersama kita pada masa ini, sudah tentu beliau “akan menitis air mata” kerana kecewa dan amat dukacita dengan keadaan perpaduan kaum khasnya Bangsa Melayu yang kini dikanca perpecahan.

Beliau telah berusaha tanpa mengenal penat dan lelah dan mengorbankan hartanya untuk menyatupadukan orang Melayu dan membina perpaduan pelbagai kaum sebagai “Batu Asas” bagi mencapai kemerdekaan negara.

Almarhum Tunku adalah simbol PERPADUAN dan sebagai Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia Almarhum Tunku yang sentiasa bersifat MODERATE, BERTOLAK ANSUR, BERHATI MULIA DAN DIHORMATI oleh seluruh Rakyat Malaysia dengan panggilan “TUNKU” yang bermakna seperti berikut:-

T- for Tolerance (Sabar atau Toleransi)
U- for Understanding (Memahami atau Bertimbang Rasa)
N- for Noble (Mulia atau Luhur)
K- for Kindness (Sifat Baik atau Kebaikan Hati)
U- for Uniqueness (Tiada Taranya atau Tiada Bandingan)

Sempena hari ini juga pada 68 tahun yang lalu iaitu pada 8 Februari 1956, Tunku telah menurunkan tandatangan pembentukan negara Merdeka kita yang dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Tunku adalah orang yang bertanggungjawab menempah sejarah untuk menganjurkan Istiadat Menandatangani Perjanjian di Lancaster House, London diantara Wakil-Wakil Raja-Raja Melayu dan Wakil-Wakil Kerajaan Perikatan Persekutuan Tanah Melayu yang diketuai oleh Tungku sebagai Ketua Menteri Kerajaan PTM dengan Wakil Kerajaan British, Mr Allan Lynox Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan British bagi menetapkan bahawa Tarikh 31 Ogos 1957 Persekutuan Tanah Melayu mencapai KEMERDEKAAN.

Mengambil sempena kedua-dua tarikh yang sangat istimewa dan sangat penting iaitu 8 Februari maka Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP) yang mengandungi 20 Pertubuhan-Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) etnik kaum di Pulau Pinang telah mengistiharkan bahawa tarikh keramat ini iaitu 8 Februari setiap tahun diraikan sebagai HARI PERPADUAN bagi Negeri Pulau Pinang.

MPMNPP adalah sebuah majlis yang julung kali diwujudkan di negara ini serta penubuhannya dirasmikan pada 22 November 2003.

Pengisytiharan Hari Perpaduan Pulau Pinang itu telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Abbas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dalam satu perhimpunan berwarna warni yang bersejarah pada 8 Februari 2004.

Hari ini juga 27 Rejab 1445H kita umat Islam menyambut Israk dan Mikraj Nabi Muhammad S.A.W.

Bersempena dengan ketiga-tiga Tarikh yang sangat penting dan sangat istimewa ini kepada Bangsa Melayu dan umat Islam, saya merayu dan memohon kepada seluruh Bangsa Melayu dan umat Islam “BERSATULAH SEMULA BANGSA MELAYU DAN UMAT ISLAM SEPERTIMANA KITA PERNAH BERSATU” dalam perjuangan sehingga kita berjaya mencapai kemerdekaan negara tercinta ini.

AL-FATIHAH dihadiahkan kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj, Bapa Kemerdekaan Negara dan Bapa Malaysia yang sentiasa dikenangi, dihormati, disayangi dan Pejuang-Pejuang Kemerdekaan Tanah Air. Aamiin.

Tunku, namamu harum ibarat Kasturi, Sinarmu bagai bulan purnama, Tingkah lakumu indah mempersona dan hadirmu ibarat membawa dian menyuluh negara setiap masa.

Wassalam.

Yang Ikhlas,

Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Haji Mohd Yussof Latiff
Veteran UMNO Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) Merangkap Pengerusi Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP)
Khamis, 8 Februari 2024 / 27 Rejab 1445 (H)

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.