Kerajaan Kukuh, Stabil Penting Untuk Memacu Kemajuan Ekonomi Negara – Afif Farhi

BANGI, 8 Feb – Kerajaan yang kukuh dan stabil penting untuk menarik keyakinan pelabur bagi membolehkan usaha pemulihan ekonomi dilaksanakan dengan baik di samping mengisi pembangunan dan memacu kemajuan.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bangi, Afif Farhi Othman berkata, Konvensyen Perpaduan yang berlangsung di Perak pada bulan lalu menjadi medan untuk para pimpinan membina keserasian dan menyemai nilai keikhlasan untuk mentadbir negara serta negeri.

“Konvensyen Perpaduan yang berlangsung bulan lalu di Perak amat bermakna kerana di negeri tersebutlah bermulanya usaha kerjasama yang terbentuk antara Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) dan setelah 14 bulan dan inilah masanya untuk kita menilai prestasi serta pencapaian kita bersama.

“Konvensyen ini menjadi medan untuk pendokong Kerajaan Perpaduan ini lebih kenal-mengenali, membina keserasian dan menyemai nilai keikhlasan untuk terus berganding bahu mengurus tadbir negeri mahupun negara.

“Hasrat Perdana Menteri agar setiap negeri mengadakan Konvensyen Kerajaan Perpaduan ini adalah untuk memupuk kesepaduan di antara rakan-rakan komponen dan memberi ruang untuk saling berkongsi pandangan, memahami keperluan serta aspirasi bersama bagi merangka gerak kerja yang efektif agar kita bina kerajaan yang kukuh,” katanya kepada UMNO Online.

Di samping itu, beliau turut mengingatkan pihak lawan agar menghentikan sebarang langkah yang boleh menggugat kestabilan politik kerana ia akan merugikan negara dan rakyat.

“Kerajaan yang kukuh ini penting bagi menarik keyakinan pelabur, menjalankan usaha pemulihan ekonomi, mengisi pembangunan dan memacu kemajuan. Selain itu kerajaan yang stabil membolehkan kita untuk melaksanakan perubahan melalui ‘political will’ bagi membuat keputusan yang tidak popular tetapi penting demi masa depan negara.

“Pada saya cukup-cukuplah. Hentikanlah sebarang langkah yang boleh menggugat kestabilan dan mencipta ketidaktentuan kerana yang rugi akhirnya negara dan rakyat. Beri ruang dan peluang kepada Kerajaan Madani untuk menyerlahkan kemampuan mereka dan melaksanakan apa juga yang telah direncanakan.

“Sekarang bukan masanya untuk langkah Dubai, langkah Chow Kit dan sebagainya, kita tumpu kepada langkah Perpaduan, Malaysia Madani membawa negara ke arah kecemerlangan. Insya-Allah,” katanya lagi.

Pada bulan lalu telah berlangsung Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak yang diadakan di Ipoh dan dihadiri oleh para kepimpinan BN-PH negeri dan pusat.

Konvensyen itu juga menjadi pentas untuk mengimbau kembali peristiwa-peristiwa serta detik-detik penting yang membawa sehingga ke tahap sekarang supaya dapat ditatang ibrah dan pengajaran bahawa Kerajaan Perpaduan bagi negeri Perak tidak tertegak dengan mudah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mahu Kerajaan Perpaduan di semua negeri turut serta mengadakan konvensyen bagi memperkukuh kestabilan gabungan itu. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.