UMNO Labuan Tekad Kembalikan Kegemilangan, Susun Program Berimpak Besar Untuk Rakyat

LABUAN, 7 Feb – Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan bertekad untuk mengembalikan kegemilangan pulau terbabit yang sebelum ini menjadi lokasi tumpuan khususnya para pelancong dari dalam dan luar negara.

Katanya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, keadaan yang suram dan malap di Labuan sebelum ini adalah ekoran beberapa perkara yang telah dikenalpasti malah langkah terbaik telah diambil.

“Saya melihat apa yang berlaku di Labuan ini kerana tidak ada program-program besar yang memberi impak untuk orang luar datang ke Labuan.

“Jadi saya mengambil satu inisiatif bermula dari tahun lepas dengan mewujudkan program yang berimpak besar, antaranya baru-baru ini kedatangan penceramah nusantara Ustaz Abdul Somad dalam program Labuan Berselawat,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, berdasarkan kejayaan program terbabit, seramai 28,000 orang dari pelbagai peringkat termasuk dari luar Labuan datang dan berhimpun di sini.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada warga Labuan, Sabah, Brunei dan orang ramai yang membanjiri Dataran Labuan, angka seramai 28,000 orang telah menjayakan program Labuan Berselawat yang diadakan.

“Jadi ini adalah program langkah pertama yang saya buat sebagai usaha bagi mendatangkan orang luar ke Labuan kerana Labuan perlukan langkah seperti ini.”

Dalam hal ini beliau memberikan penerangan bagaimana kedatangan orang ramai yang bertumpu ke Pulau Labuan sehingga menggerakkan pelbagai aktiviti khususnya penginapan, pengangkutan dan industri makanan serta perusahaan lain.

“Saya ingin berikan contoh, tiga hari sebelum program tersebut diadakan, feri yang berpengkalan di Labuan sudah dipenuhi dengan kenderaan-kenderaan daripada Sabah, begitu juga feri yang daripada Brunei dan juga daripada Limbang, Sarawak yang semuanya datang kerana mahu mengikuti program Labuan Berselawat Bersama Ustaz Abdul Somad.

“Ramai orang luar datang kerana ada program sedemikian yang maknanya Labuan memerlukan program yang berimpak besar.

“Justeru, saya melontarkan cadangan mewakili rakyat Labuan dengan mengutarakan agar kerajaan sewajarnya menganjurkan program-program sedemikian iaitu berikan dana untuk warga Labuan agar kami dapat menyusun program-program yang berimpak besar.

“Kita mahukan ramai pelancong datang ke Labuan dan menghidupkan ekonomi di sini dengan tempat-tempat penginapan penuh, tempat makan dan restoran meriah, pemandu grab dan teksi seronok, begitu juga penguasaha-pengusaha feri serta semua pihak kerana kita sama-sama mengecapi keuntungan berdasarkan program sedemikian.”

Tegasnya, Labuan memerlukan program besar setiap bulan sama ada program kemasyarakatan misalnya berbentuk keagamaan, hiburan atau sebagainya.

Terdahulu beliau memaklumkan kegagalan Labuan sebagai Pulau Bebas Cukai sebelum ini adalah disebabkan beberapa faktor antaranya industri minyak dan gas yang merudum sekitar tahun 2017 diikuti tahun 2020 apabila wabak COVID-19 menular, dan pada tahun 2021 kerajaan menarik beberapa keistimewaan pulau bebas cukai itu sendiri sehinggakan harga barangan menjadi tinggi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.