Pengampunan Najib: Pergerakan Puteri UMNO Akan Terus Komited Perjuang Isu Rayuan, Pembelaan

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan terus komited untuk memperjuangkan isu rayuan dan pembelaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Menerusi hantaran di laman sosial, Pergerakan Puteri UMNO turut mengajak seluruh rakyat Malaysia terutamanya ahli-ahli parti untuk sama-sama berdoa agar segala urusan tersebut dipermudahkan.

“Semangat dan darah perjuangan yang ada dalam diri Datuk Seri Mohd Najib ini juga akan terus mengalir dalam kalangan Puteri UMNO lebih-lebih lagi anak beliau juga merupakan Exco Sayap Puteri yang terus komited memperjuangkan keadilan buat bapanya.

“Marilah sama-sama kita berdoa semoga usaha untuk Datuk Seri Mohd Najib dipermudahkan,” katanya.

Pada 28 Julai 2020 media melaporkan Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah.

Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayarnya kepada Ahli Parlimen Pekan itu bagi satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Manakala pada 23 Ogos 2022 media melaporkan bahawa Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan lima panel hakim itu berkata, Mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Bicara ketika itu iaitu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Pada 2 Februari media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara serta denda ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, mereka memaklumkan bahawa mesyuarat kali ke-61 Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah bersidang pada 29 Januari lalu.

Menurutnya, Mohd Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 29 Ogos 2028 dan perlu membayar denda sebanyak RM50 juta. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.