Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Fokus Pembangunan Fizikal Dan Basmi Kemiskinan

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) fokus kepada soal pembangunan fizikal dan pembasmian kemiskinan.

Ujarnya, MTPNg memberi ruang yang lebih luas kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk bersama-sama menetapkan strategi dan memantau pelaksanaan program, projek serta pembangunan negeri.

“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri adalah sangat penting bagi mendepani cabaran yang dihadapi, khususnya dalam soal pembangunan fizikal dan pembasmian kemiskinan.

“Semoga dengan adanya ruang ini, matlamat negara dalam memenuhi hasrat dan harapan rakyat untuk hidup dalam keadaan maju dan sejahtera dapat direalisasikan,” kataya dalam satu catatan di laman media sosialnya.

Pada Selasa, Khaled menerima kunjungan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Azman Ibrahim dan seterusnya mendengar taklimat daripada Pengarah Pembangunan Negeri Terengganu, ICU Tuan Haji Abdul Kahar Abdul Latif berkaitan MTPNg Terengganu di pejabatnya di sini.

Khaled juga mengambil kesempatan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberikan kepercayaan kepadanya sebagai Pengerusi Bersama MTPNg Terengganu.

Terdahulu dalam satu perkongsian pada hari yang sama, Khaled juga hadir di Menara Chulan, di sini untuk mendengar taklimat daripada kepimpinan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang diketuai pengerusinya Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Jelas Khaled, LTAT merupakan sebuah badan berkanun yang memainkan peranan penting sebagai ‘custodian’ simpanan persaraan bagi angkatan tentera dan veteran.

“Selain menyediakan skim simpanan persaraan, LTAT juga terlibat dalam mempromosikan pembangunan sosioekonomi dan kebajikan para penyumbang.

“Pertemuan ini turut digunakan untuk membincangkan langkah-langkah strategik dalam menangani masalah, isu, dan cabaran yang dihadapi oleh LTAT. Apa jua halangan yang dihadapi perlu diatasi segera kerana prestasi LTAT memberi kesan yang cukup besar kepada kebajikan tentera dan veteran kita,” katanya.

Tambah Khaled lagi, secara keseluruhannya transformasi yang telah dijalankan oleh LTAT dalam beberapa tahun lalu telah menunjukkan peningkatan prestasi yang mantap di samping memperoleh pendapatan pelaburan yang konsisten.

“Semoga melalui perancangan yang telah dirangka seperti Pelan Strategik 2023-2025 (MAMPAN25), LTAT berupaya menangani cabaran ekonomi, berterusan menjaga kebajikan sosial penyumbang dan kekal mampan,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.