Kenyataan Tony Pua Biadap, Semua Pihak Perlu Hormati Dan Ikut Lunas Undang-Undang

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berpandangan kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berhubung keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah biadap.

Bagi beliau secara dasarnya kenyataan tersebut menunjukkan beliau tidak menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong dan dikhuatiri boleh mencetuskan huru-hara dalam masyarakat.

“Tindakan undang-undang perlu diambil terhadap bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berikutan kenyataannya yang menyindir keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Walaupun beliau adalah bekas ahli Parlimen dan orang yang berpengalaman dalam soal ehwal berkaitan perundangan negara, tapi kenyataan dikeluarkan itu adalah kenyataan sangat biadab.

“Ia juga boleh mencetuskan keadaan huru-hara dalam kalangan masyarakat. Saya harap Tony Pua dikenakan tindakan dan dihadapkan ke mahkamah atas kenyataan yang secara totalnya menyalahi undang-undang negara,” katanya.

Kata beliau lagi semua pihak seharusnya menghormati keputusan tersebut dan tidak sepatutnya mempertikaikannya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.