Kelab Skuad Sayang 3K Bersama Wanita BN Santuni Penghuni Warga Emas Rumah Kebajikan – Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Kelab Skuad Sayang 3K menyantuni rumah Ti-Ratana Welfare Society Malaysia, di sini sempena Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2024.

Pesuruhjayanya yang juga Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pemilihan rumah kebajikan berkenaan adalah bagi menceriakan lagi warga emas serta memupuk semangat kekeluargaan dalam kalangan Kelab Skuad Sayang 3K.

Menurutnya, pada tahun ini, Kelab Skuad Sayang 3K telah memilih dan berbincang dengan Yayasan Kebajikan Negara serta pengasas rumah kebajikan berkenaan dengan memberikan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina.

“Kelab Skuad Sayang 3K adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kita bergerak bersama-sama Wanita Barisan Nasional (BN) serta mendapat bantuan daripada Yayasan Kebajikan Negara untuk memberi sumbangan kepada sebahagian daripada penghuni Persatuan Kebajikan Ti-Ratana ini.

“Penghuni di sini terdapat 500 orang tapi pihak kebajikan Ti-Ratana mencadangkan memberi sumbangan seramai 80 orang penerima bantuan yang berupa kotak makanan, limau mandarin dan sumbangan kewangan kepada persatuan tersebut,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar, Ketua Penerangan Wanita UMNO Datuk Rosni Zahari, Pengasas Ti Ratana Welfare Society Malaysia Datuk K.Sri Dhammaratana serta penghuni-penghuni rumah kebajikan tersebut.

Noraini yang juga Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjelaskan Wanita UMNO/BN sentiasa menyantuni masyarakat sama ada sebelum masa COVID-19 dan sehingga kini.

“Kita buat setiap tahun kecuali masa zaman pandemik Covid-19. Sebelum itu program bantuan ini selalu diadakan tapi kita serahkan pada pihak bahagian UMNO/BN untuk melaksanakan.

“Di peringkat nasional pula kami sentiasa menyantuni masyarakat seperti pergi dari rumah warga emas, rumah kebajikan untuk memberi bantuan berupa barangan yang diberikan seperti hari ini bersempena Tahun Baharu Cina,” jelasnya.

Pada masa yang sama Ahli Parlimen Parit Sulong itu menasihati rakyat Malaysia yang ingin pulang menyambut Tahun Baru Cina dan bercuti agar berhati-hati memandu pulang ke destinasi masing-masing.

“Bagi pihak Kementerian dan Wanita UMNO/BN ingin mengucapkan selamat Tahun Baru Cina dan berhati-hati memandu balik kampung kerana yang balik kampung ini bukannya hanya majoriti kaum Cina tapi semua rakyat Malaysia yang akan mengambil kesempatan bercuti.

“Tidak ketinggalan juga pada masyarakat Cina di Parlimen Parit Sulong. Sebenarnya setiap tahun saya akan pergi beraya rumah ke rumah dengan masyarakat Cina di dalam kawasan ini. Saya harap semuanya akan baik-baik belaka dan ‘safe to home’,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.