UMNO Terengganu Junjung Kasih Keputusan Pengampunan, Sokong Usaha Dapatkan Pembelaan Najib

KUALA LUMPUR, 6 Feb – UMNO Negeri Terengganu menjunjung kasih keputusan dan hak mutlak yang telah diambil mengenai permohonan pengampunan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang DiPertuan Agong Ke 16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Sabri Alwi dalam satu kenyataan berkata UMNO negeri itu juga akan terus menyokong segala usaha pimpinan parti selaras dengan undang-undang negara dan pada masa yang sama berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini berkaitan pembelaan terhadap Datuk Seri Najib.

“UMNO Perhubungan Negeri Terengganu mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan akan terus menyokong usaha-usaha beliau mendapatkan pembelaan terhadap bekas Presiden parti sesuai dengan laras undang-undang negara di samping berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang mahukan usaha pembelaan Datuk Seri Mohd Najib diteruskan,” katanya.

Beliau seterusnya berharap ahli parti di pelbagai peringkat agar bersabar dan terus berdoa untuk kesejahteraan bekas Presiden UMNO tersebut.

“UMNO Perhubungan Negeri Terengganu ingin mengajak ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi agar bersabar dan berdoa untuk kesejahteraan Datuk Seri Mohd Najib. UMNO negeri ini juga sentiasa berdiri teguh dan menyokong kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden parti,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara serta denda ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, dimaklumkan bahawa mesyuarat kali ke-61 Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah bersidang pada 29 Januari lalu.

Menurutnya, Mohd Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 29 Ogos 2028 dan perlu membayar denda sebanyak RM50 juta.– UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.