Isu Kos Sara Hidup: Ahmad Zahid Mahu Segala Tindakan Disegerakan, Dimurnikan Untuk Pelaksanaan

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu segala tindakan disegerakan dan dimurnikan untuk pelaksanaan bagi isu kos sara hidup rakyat.

Beliau yang juga Presiden UMNO itu turut telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, pagi tadi.

“Alhamdulillah pagi tadi saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Bil.1/2024.

“Banyak tindakan yang telah dilakukan Kerajaan Madani dan kami sentiasa berusaha sebaiknya untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, pelbagai isu semasa dan permasalahan mengikut kluster dibincangkan ketika mesyuarat tersebut berlangsung.

“Mesyuarat ini meneliti pelbagai isu semasa dan permasalahan melalui Kluster Perumahan, Pendidikan, Pengangkutan, Makanan, Kesihatan, Utiliti dan Sosial yang merangkumi pelbagai Kementerian serta Agensi Kerajaan.

“Saya mahu segala tindakan disegerakan, dimurnikan untuk pelaksanaan. Insya-Allah penyelarasan yang dilakukan hari ini dapat membantu pengurusan kos sara hidup di pelbagai peringkat menjadi bertambah baik,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.