Sokong Langkah Pemimpin UMNO, Jangan Gentar Suara-suara Sumbang Terhadap Parti – Sharif Musa

LAHAD DATU, 5 Feb – Ahli-ahli UMNO khususnya kepimpinan parti perlu terus yakin dengan perjuangan lantaran sokongan anggota akar umbi terus kukuh.

Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menghargai usaha yang dilaksanakan oleh kepimpinan tertinggi UMNO dalam melaksanakan dan membela mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Alhamdulillah! UMNO telah buat yang terbaik ke atas keputusan Lembaga Pengampunan.

“Terima kasih kepada seluruh kepimpinan UMNO yang telah memutuskan meneruskan usaha-usaha mendapatkan pembelaan terhadap Datuk Seri Najib,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas beliau, sebagai akar umbi UMNO sokongan kepada kepimpinan parti tetap teguh malah tidak pernah gentar dalam usaha menegakkan keadilan.

“Sebagai akar umbi UMNO, kami mengingatkan kepada seluruh pimpinan UMNO agar jangan takut dan gentar mendengar suara-suara sumbang yang hanya bermodalkan air liur memprogandakan kekuatan UMNO.

“Yakinlah, tindakan anda semua satu perjuangan. Akar umbi bersama anda semua,” katanya lagi.

Pada Jumaat, urus setia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, mengumumkan memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalani Najib sejak 2022, sekali gus menyaksikan beliau bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028 dan perlu membayar denda yang dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Susulan itu, pada Sabtu mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju meneruskan usaha mendapatkan pembelaan terhadap Najib sesuai dengan laras undang-undang negara, selain berpegang pada keputusan Perhimpunan Agung UMNO berhubung pengampunan bekas Perdana Menteri itu.

Semalam pula telah diadakan Perjumpaan Tertutup Presiden UMNO Bersama Ketua-Ketua Bahagian, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) Kuala Lumpur. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.