Ringankan Beban… Noraini Ziarah Keluarga Bella, Sediakan Khidmat Kaunselor

BATU PAHAT, 4 Feb – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad telah menziarahi ahli keluarga Mila Sharmilah Samsusah atau dikenali sebagai Bella, semalam.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO itu menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa ziarah tersebut merupakan pertemuan susulan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban dihadapi mereka sekeluarga.

“Hari ini saya bersama dengan Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Batu Pahat telah menziarahi ahli keluarga Mila Sharmilah Samsusah atau dikenali sebagai Bella.

“Ini merupakan pertemuan susulan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban keluarga terutamanya ibunya Noraini Salleh dan kakaknya Norisham yang masih terkesan dengan kehilangan Bella,” katanya.

Jelasnya, selain memberikan sokongan emosi dengan menyediakan khidmat kauselor, JKM turut membantu urusan hak penjagaan dua anak arwah Bella yang masih kecil.

“Selain daripada memberikan sokongan emosi kepada ahli keluarga dengan menyediakan kaunselor, JKM juga sedang membantu urusan hak penjagaan dua anak arwah Bella yang masih kecil lagi iaitu adik Luth Muhamad Adika Eusoff, 5 tahun dan adik Maream Isabella, 2 tahun.

“Ini bagi memastikan kedua-dua anak kecil tersebut dapat membesar dengan baik dan kebajikan mereka terus terbela.

“Dalam pertemuan ini juga, saya turut menyerahkan sumbangan peribadi dan daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN). Semoga Noraini Salleh sekeluarga tabah menghadapi ujian ini,” katanya lagi.]]

Pada 23 Januari lalu Polis Johor mengesahkan bahawa penemuan rangka jenazah tidak sempurna di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat adalah milik Bella atau Mila Sharmilah Samsusah.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata, melalui laporan didapati hasil analisis ia secara biologi sepadan dengan sampel yang diambil daripada ibu dan kakak Bella yang berusia 32 tahun itu.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pula, motif pembunuhan Bella adalah disebabkan cemburu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.