Penerangan UMNO Laksana Bedah Siasat Isu Menerusi Podcast ‘Hitam, Putih, Kelabu’ – Azalina

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Penerangan UMNO Malaysia dan Komunikasi Barisan Nasional (BN Comms) akan melaksanakan satu program ‘podcast’ yang dinamakan ‘Hitam, Putih, Kelabu, kata Ketua Penerangannya, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Jelasnya, program ini adalah untuk ‘membedah siasat’ segala permasalahan membabitkan isu-isu semasa dengan lebih terbuka dan dikendalikan oleh pakar-pakar yang mahir dalam bidang tersebut.

“Penerangan UMNO dan BN Comms akan membuat satu eleman bedah siasat yang lebih terbuka dalam aspek isu-isu yang agak sensitif supaya pakar-pakar yang mempunyai pendapat mereka memberikan pandangan dari aspek kepakaran dan juga masyarakat yang tidak mempunyai kepentingan politik dapat beri pandangan kepada isu-isu semasa yang berlaku di negara ini.

“Program podcast ‘Hitam, Putih, Kelabu’ ini mengambil pandangan dari pelbagai pihak tetapi yang lebih penting ialah menjemput satu orang pakar, sebagai contoh seseorang yang pakar dalam aspek undang-undang dan perlembagaan, pelajar, anak-anak muda, profesional, peguam muda, masyarakat umum dan lain-lain.

“Kita melihat pandangan rakyat perlu diketengahkan tetapi yang beri pandangan itu adalah ahli politik yang sememangnya mempunyai kepakaran dan kadang-kadang pandangan tersebut akan berat sebelah disebabkan program ini dianjurkan oleh parti politik,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) berkata, fokus utama dalam program ini adalah dapat berkomunikasi dan mendengar pandangan dengan semua lapisan masyarakat.

“Fokus saya ialah untuk berkomunikasi dan mendengar pandangan masyarakat. Sekarang ini kita buat ‘reverse’ iaitu dari pandangan masyarakat … biar ahli parti yang tahu dan kita dengarlah suara-suara dari pakar dan rakyat. Sebagai ahli parti perlu buat penilaian sama ada perkara itu hitam, putih ataupun kelabu.

“Podcast ini bukannya terhad pada ahli parti tapi menggalakkan ahli parti mendengar serta memberi pandangan mereka dan boleh mendaftar di aplikasi Zoom Google Meet dengan menggunakan sistem pendaftaran online.”

Ujar Ahli Parlimen Pengerang itu, terdapat 10 episod yang akan bersiaran dengan meliputi aspek politik, sosial dan ekonomi malah program ini tidak semestinya dari ahli UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.