Jangan Campuri ‘Rumahtangga’ Orang lain…Utamakan Kepentingan Rakyat – Azhar

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Ketua UMNO bahagian Beruas, Datuk Dr. Azhar Ahmad berharap pimpinan parti politik harus mengutamakan kepentingan rakyat dan tidak perlu mencampuri urusan rumahtangga parti-parti politik lain apatah lagi hari ini bersama-sama membentuk sebuah kerajaan di dalam kerajaan perpaduan.

Bagi beliau langkah sedemikian hanya akan membuka ruang dan memberi peluang kepada musuh-musuh politik untuk menambah perisa yang tidak seharusnya berlaku kerana masing-masing sudah faham dan tahu peranan masing-masing sebgaai sebuah kerajaan.

“Tidak perlu campur urusan  UMNO…macam kita mana ada campur parti lain. Kita jaga parti kita..kuatkan parti kita…perkasakan parti kita. Presiden kita dipilih oleh perwakilan dan bukannya di kaki lima. Presiden kita terpilih melalui Perlembagaan UMNO.

“Naik dan turun seseorang presiden menerusi Perlembagaan. Jadi orang lain tidak perlu sibuk-sibuk jaga parti kami…sepertimana parti kami tidak mencampuri urusan parti lain…lagi pun kita ini kerajaan bersama. Bercakap seumpama itu dibimbangi akan diambil kesempatan oleh orang lain… musuh kita.

“Adalah lebih baik kita kurangkan bercakap dalam saat-saat sekarang ini. Rakyat bukannya nak dengar orang itu tidak betu…ini tidak betul. Rakyat mahukan apa pembelaan untuk mereka…ekonomi mahu ditambah dan ini yang rakyat mahu dengar,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim pada Rabu yang berpendapat UMNO perlu diterajui muka baharu dan tidak hanya ‘menumpang dahan’ Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Azhar seterusnya menegaskan masing-masing tidak perlu membuang masa bercakap perkara-perkara yang dikhuatiri boleh menyebabkan keregangan hubungan antara satru sama lain sebaliknya terus berjalan ke depan terutama dalam soal aspek ekonomi dan kepentingan rakyat.

“Kita jangan buang masa dan tenaga kita hanya bercakap survival pilitik dan parti politik. Kita utamakan kepentingan rakyat. Lima tahun lagi bercakapla…ini tidak habis-habis. Hari ini Presiden UMNO jadi sasaran kritikan tidak mustahil esok pula ada pula si polan yang akan bangkit balas kenyataan sedemikian.

“Jadi macammana kita mahu ada kesatuan fikrah kita. Bagaimana mahu mewujudkan kebersamaan jika tidak ada saling ketidakpercayaan antara satu sama lain. Jadi tidak perlulah bercakap hal-hal rumahtangga orang lain,” tambahnya.

Tegas beliau UMNO mempunyai strukturnya yang tersendiri malah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilipilih oleh perwakilan seluruh negara.

“UMNO bukan pilih sebarangan… bermula daripada cawangan….kemudiannya ke peringkat bahagian dan selepas itu peringkat negeri dan seterusnya ke peringkat pusat. Maksudnya kita ada ‘grass groot’.

“Peringkat cawangan akan tengok dan memainkan peranan peringkat bawah…lihat dan dekat dengan rakyat. Ada masalah maklum kepada bahagian dan bahagian akan bawa ke peringkat seterusnya. Nampak tak struktur dasar parti UMNO. Sangat teratur. Saya tidak mahulah buat perbandingan dengan parti lain. Presiden dipilih secara demokrasi dan orang lain boleh bercakap apa sahaja. Jadi kita sama-samalah buat kerja dan tumpukan kepada rakyat dan negara,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.