Siti Aminah Yakin Usaha Kerajaan Perpaduan Disokong, Pemantapan Pendidikan Perkukuh Masa Depan

BEAUFORT, 4 Feb – Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching melahirkan keyakinan atas usaha Kerajaan Perpaduan yang menggerakkan Program Modal Insan menerusi pemantapan pendidikan demi memperkukuh generasi masa hadapan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, berkata keyakinan tersebut berdasarkan langkah berterusan kerajaan yang meneruskan usaha memperkukuhkan pendidikan dalam bidang kemahiran khususnya di luar bandar ini termasuklah pembinaan sebuah kampus baharu Kolej Profesional MARA (KPM) di Beaufort.

“Usaha kerajaan pastinya mendapat sokongan yang diaplikasi melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan akses kepada pendidikan berkualiti dalam meningkatkan modal insan berkemahiran masa hadapan yang bermula daripada peringkat sekolah menengah hingga ke peringkat pengajian tinggi.

“Sudah tentu, masyarakat di sini beruntung dengan kewujudan sebuah pusat pendidikan yang akan diaplikasi oleh penduduk dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online selepas mengadakan perjumpaan bersama Pengarah MARA Sabah Dr Shahrizin Abdul Sarhadat di Ibu Pejabat MARA Sabah Kota Kinabalu, baru baru ini.

Menurut Siti Aminah, dengan terlaksananya pembinaan KPM di daerah Beaufort, ia akan memberikan peluang kepada golongan belia khususnya di dearah ini dan sekitarnya melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran.

“Saya berharap pelajar-pelajar lepasan sekolah dan golongan belia dapat menggunakan peluang ini sebaiknya iaitu meneruskan pengajian termasuk memilih bidang kemahiran sebagai pilihan tambahan selain pengajian ke institut pengajian tinggi.

“Anak muda mempunyai masa depan cerah dalam bidang kemahiran memandangkan teknologi kemahiran yang ditimba mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.”

Menurutnya, pelajar lepasan di institut latihan kemahiran sama ada dari Institut Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), Institut Latihan Perindustrian(ILP) Giat Mara dan lain-lain kini menjadi buruan pelbagai syarikat dan pemain industri tempatan.

“Kemahiran yang mereka dapat mempunyai nilai kebolehpasaran tinggi walaupun mereka bukan pelajar universiti malah ini membuktikan inovasi itu milik semua termasuklah pekerja berkemahiran sekalipun,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.