Junjung Kasih, Jangan Ada Mana-Mana Pihak Pertikai Kuasa Mutlak Pengampunan – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap tidak ada mana-mana pihak yang mempertikai berhubung keputusan hukuman penjara serta denda ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Jelas beliau semua pihak perlu menghormati keputusan berkenaan kerana Perlembagaan menyatakan ianya adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Kita menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah dan sebagai institusi yang sentiasa membela serta mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu kita menghormati keputusan yang dibuat.

“Ini kerana Perlembagaan menyatakan bahawa ini adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa. Ini adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan kita harapkan jangan ada suara-suara sumbang di luar sana yang mempertikaikan apa yang telah pun diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu dalam konteks Lembaga Pengampunan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi perjumpaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan Ketua-Ketua UMNO bahagian seluruh negara, di sini, petang tadi.

Sebelum ini media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara serta denda ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, dimaklumkan bahawa mesyuarat kali ke-61 Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah bersidang pada 29 Januari lalu.

Menurutnya, Mohd Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 29 Ogos 2028 dan perlu membayar denda sebanyak RM50 juta. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.