Jangan Beri Ruang Wujudkan Kerajaan Pintu Belakang, Kekalkan Kesejahteraan Negara – Adzly Manas

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Peguam yang juga aktivis politik dan masyarakat, Adzly Ab Manas berharap kerajaan memperketatkan perundangan tanpa memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk menggugat kesejahteraan. 

Beliau berkata, kerajaan hari ini perlu berfungsi dan meneruskan khidmat kepada negara dan rakyat. 

“Saya berharap kerajaan dapat memperketatkan apa-apa perundangan bagi ahli-ahli Parlimen dapat menjalankan tugasan mereka.

“Jika ada kelemahan atau kelompongan undang-undang misalnya dalam Akta Anti Lompat Parti maka pindalah akta ini supaya ia lebih baik dan boleh dikuatkuasakan. Rakyat Malaysia perlu memberi tempoh yang munasabah untuk Kerajaan Madani ini memberi khidmat kepada negara dan rakyat Malaysia,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Perundangan, Perlembagaan dan Pilihan Raya percaya pembangkang tidak berani membawa usul tidak percaya kononnya mempunyai cukup majoriti ahli Parlimen.

“Saya percaya pihak pembangkang tidak berani berbuat jika benar pihak mereka mempunyai ‘enough numbers’ dan sila bawa ke Parlimen agar mohon diadakan undi percaya atau tidak percaya terhadap Kerajaan Perpaduan. Proses ini dibenarkan oleh undang-undang dan sejarah Malaysia telah membuktikan bahawa kerajaan pintu belakang tidak akan bertahan lama.

“Rakyat perlu yakin dan memberi sokongan penuh pada kerajaan dalam menjalankan dasar-dasar dan polisi-polisi sehingga cukup penggal. Bukannya menyokong ahli-ahli Parlimen pembangkang yang hanya suka mencipta persepsi negatif terhadap kepimpinan didalam Kerajaan Perpaduan Madani.

“Perlu diingatkan bahawa ekonomi negara ini tulang belakangnya adalah perniagaan berasaskan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME). Kerajaan sedang bersungguh-sungguh untuk memastikan ekonomi negara berjalan dengan lebih cergas dan memastikan rakyat Malaysia mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang cukup untuk menampung kehidupan seharian mereka,” jelasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.