Hari Wilayah Persekutuan: Terjemah Syukur Dengan Nilai Perpaduan

KUALA LUMPUR, 1 Feb –Ketua Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Nur Atiqah Najihah Hairudi berpandangan Hari Wilayah Persekutuan merupakan simbolik kepada perpaduan dalam kalangan warganya.

Katanya, nilai perpaduan yang dimiliki ini memberi makna dalam konteks keharmonian negara, sekaligus berupaya membawa Malaysia ke landasan ekonomi yang lebih baik.

Nur Atiqah yang juga Ketua UMNO Bahagian Segambut juga berkata, setiap dalam kalangan warga wilayah seharusnya menterjemahkan kesyukuran tersebut dengan bersatu hati dan menjalinkan nilai kerjasama dengan sebaiknya kepada agama, bangsa dan negara.

“Kita harus bersyukur kerana walaupun rakyatnya berbilang bangsa dan agama, kita dapat hidup aman dan damai. Kuncinya adalah perpaduan, saling menghormati dan kerjasama antara satu sama lain. Perpaduan dan penyatuan hati sesama kita amat penting dalam memajukan negara kita yang tercinta.

“Apa yang kita nikmati pada hari ini adalah hasil daripada pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu, jadi jangan kita sia-siakan. Oleh itu, marilah sama-sama berusaha dalam mengekalkan semangat perpaduan, keamanan dan keharmonian di bawah Kerajaan Perpaduan hari ini.

“Semoga Wilayah Persekutuan menjadi pemacu kepada perpaduan, keamanan dan keharmonian kita semua rakyat Malaysia! Selamat menyambut Hari Wilayah yang ke-50 tahun!” ujar beliau.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memaklumkan Hari Wilayah Persekutuan 2024 (HWP 2024) yang diadakan hari ini di Dataran Putrajaya, bersekali dengan program Hari Terbuka Putrajaya 2024 (POD 2024).

Beliau berkata, sambutan ini diharap dapat menanam serta mengukuhkan lagi semangat patriotisme cintakan Wilayah Persekutuan sekali gus menonjolkan imej warga Wilayah Persekutuan yang harmoni, prihatin, maju dan sejahtera.

Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Feb setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan dan tahun ini merupakan sambutan kali ke-20 sejak diperkenalkan pada 2004.

Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1974 manakala Labuan pada 1984 dan Putrajaya pada 2001. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.