Sanusi Kaki Propa, Takut Bayang-bayang Sendiri – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin membidas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang berterusan memainkan sentimen pertukaran kerajaan.

Katanya, tindakan Sanusi itu diibarat seperti takut dengan bayang-bayang apabila menyedari sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) semakin rapuh.

“Sanusi seperti biasa cubaan mencapai indeks prestasi utama (KPI) bulanan dengan melakukan adegan memalukan diri di hadapan khalayak umum. Kali ini, Sanusi dengan penuh berani dan yakin cakap kerajaan akan tumbang.

“Sebenarnya dia takut dengan bayang bayang PN sendiri, mereka sedar mereka semakin hilang sokongan, jadi mereka jadi tak tentu arah dan malu dengan penyokong mereka,” katanya menerusi satu kenyataan.

Shaiful Hazizy yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Merbok menambah, pelbagai strategi dimainkan PN untuk mengaburi mata penyokong mereka namun sehingga kini ianya sekadar angan kosong mereka.

Jelas ini termasuk ketika kata-kata daripada pemimpin PN sewaktu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) bahawa akan ada perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan, sehingga yang terkini Langkah Dubai.

“Cerita mereka nak jadi kerajaan ni bukan pertama kali, kalau ini drama TV, orang dah tukar awal-awal siaran sebab skrip sama sahaja. Waktu PRN enam negeri, pun cakap nak tukar kerajaan, tapi dah 145 hari dah semenjak PRN, tapi apa ada apa apa berlaku? Tiada.

“Selepas PRN, satu demi satu post countdown mereka muat naik di sosial, kata kerajaan bakal bertukar 31 Ogos, tapi ni dah 31 Disember apa pun tak jadi. Yang terjadi adalah, beberapa ahli Parlimen PPBM dah sokong dengan Perdana Menteri, jumlah sokongan Perdana Menteri semakin lama semakin bertambah, mereka sahaja dok berkurang.

“Lebih memalukan, Langkah Dubai yang mereka cuba buat ini gagal. Kerajaan tidak dapat ditumbangkan, malah pelan mereka untuk bawa masuk duit RM750 juta ke negara pun gagal kerana ketangkasan Kementerian Dalam Negeri bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Interpol dan Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) menghalang usaha tersebut.

“Ikut dan dengarlah nasihat dan tulisan Tan Sri Abdul Hadi Awang, orang yang sibuk mencari kesalahan kerajaan ini sama sahaja seperti ini lebih teruk dari beruk dan tupai. Oleh itu sudah-sudahlah jadi beruk dan tupai, jadilah manusia yang normal dan rasional, hendak ubah kerajaan boleh, ubah sewaktu Pilihan Raya Umum nanti. Lawan cara anak jantan,” ujar beliau.

Malah kata beliau lagi, Kerajaan Madani ini sangat stabil bertepatan dengan analogi kerajaan atap konkrit yang digunakan oleh Perdana Menteri, ditambah pula apabila parti-parti komponen yang menyokong kerajaan menunjukkan kesetiaan.

“Premier Sarawak dan juga pemimpin GPS sendiri mengatakan Langkah Dubai ini adalah buang masa.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi juga sudah menyatakan UMNO akan kekal bersama kerajaan Madani. Kita juga tahu, yang sibuk nak bekerjasama dengan PN ini bukan kem Zahid pun, jadi kegusaran itu tidak perlu ada,” katanya.

Terdahulu, Sanusi dilaporkan media menyatakan keyakinan Langkah Dubai akan menjadi kenyataan namun tidak mendedahkan butirannya.

Menurutnya, kejatuhan kerajaan akan berlaku menerusi peralihan sokongan ahli Parlimen dan tindakan itu tidak menyalahi Perlembagaan mahupun amalan demokrasi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.