Kor Ming Nak Letak Jawatan? Alhamdulillah… Letaklah – Tok Mat Hasan

BAKRI, 30 Jun – “Alhamdulillah, letaklah jawatan. Memang pun kita nak dia letak jawatan,” kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO memberi respon ketika ditanya media mengenai satu kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ngar Kor Ming yang mahu meletak jawatan sekiranya BN menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan seterusnya membebaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Apa kena-mengena Pilihan Raya Negeri Johor dengan Datuk Najib? Kan? Itu kerajaan Persekutuan, ini kerajaan negeri. Kalau BN menang di Johor, kita tubuh kerajaan negeri sahaja. Dan kerajaan negeri tak ada kena-mengena dengan hal ehwal di Persekutuan.

“Jadi, janganlah cakap besar sangat ya. Saya tak mahu menyentuh orang, tinggal lagi kalau dia dah mencabar-cabar kita, kalau dia nak letak jawatan, letaklah jawatan segera. Tak ada masalah bagi kita,” tegasnya.

Seterusnya ulas Mohamad yang dikenali sebagai Tok Mat Hasan berkata, BN seboleh mungkin tidak mahu menyentuh peribadi dan individu pihak lain, tetapi fokus kempen secara sihat membentangkan kejayaan Kerajaan Negeri Johor dan perancangan akan datang.

“Kita mengatakan kepada pengundi-pengundi orang Johor supaya berikan mandat semula kepada BN untuk kita terus menyambung kerja baik, kerja cemerlang yang dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar (MB) sekarang (Datuk Onn Hafiz Ghazi) supaya rakyat Johor juga yang akan menikmati apa jua rangsangan-rangsangan, pakej-pakej rangsangan yang akan diberi oleh Kerajaan Negeri Johor.

“Tambahan pula sekarang Johor merupakan negeri yang terkehadapan daripada segi penerimaan pelabur-pelabur daripada luar negara. Ini satu perkara yang amat baik. Johor sekarang melonjak di tempat teratas, bukan saja teratas tapi jauh meninggalkan tempat kedua.

“Apa maknanya? Lagi dua tiga tahun besok, dia akan diterjemahkan dalam bentuk hasil negeri. Dan hasil negeri ini kita dah tengok dah prestasi MB. Dia tak simpan dalam perbendaharaan tapi dia bagi kepada rakyat Johor.

“Jadi orang Johor janganlah buat silap. Ya, terus sokong Barisan Nasional untuk terus mentadbir negeri Johor dan sama-sama kita menikmati hasil daripada sokongan kita itu nanti,” katanya.

Menyentuh mengenai pucuk pimpinan Pas yang menyeru pengundinya menyokong BN di kawasan yang tidak ditandingi mereka, Mohamad mengucapkan terima kasih jika itu dapat diterjemahkan semasa 11 hari bulan nanti.

“Tetapi saya bagi tahu juga pada jentera kita, kita mesti bekerja terus bekerja kuat. Dalam hidup ini kita jangan mengharapkan belas ehsan orang. Kita bina kekuatan supaya kita kuat di atas kekuatan sendiri. Kalau ada sesiapa nak membantu tu, alhamdulillah dan kita ucap terima kasih,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO