UMNO Kekal Falsafah Perjuangannya Walaupun Berbeza Politik Dalam Kerajaan Madani – Mohmed Puzi

KUALA LUMPUR, 1 Jan – Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali menegaskan bahawa UMNO terus mempertahankan falsafah perjuangannya demi agama, bangsa dan negara.

Beliau berkata menerusi falsafah tersebut kesemua cetusan idea diterjemah oleh pemimpin UMNO yang sedang dan akan dilaksanakan untuk kepentingan rakyat secara holistik. 

“UMNO adalah parti keramat yang memanifestasikan perjuangan bangsa Melayu dan Islam, selaras dengan perlembagaan UMNO dan Perlembagaan Malaysia.

“Menerusi penyertaan parti ini ia membawa tanda bahawa UMNO masih relevan dalam perjuangannya, mempertahankan dan memberi perlindungan kepada empat isu utama iaitu Bahasa Melayu, agama Islam, Raja-raja dan hak kepentingan orang Melayu sebagaimana perkara itu telah termaktub dalam Perlembagaan.

“Keempat-empat perkara ini tidak boleh dipertikaikan, dipersoalkan malah harus dipatuhi kerana perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan. Kerana itu rakyat tidak perlu gusar atau meragui perjuangan UMNO,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohmed Puzi berkata walaupun berbeza pandangan politik dalam Kerajaan Perpaduan tetapi demi kesejahteraan rakyat dan negara, UMNO mampu berkerjasama dengan parti-parti lain di dalamnya. 

“UMNO telah membuktikan walaupun berbeza pandangan politik dan pernah berbalah serta menjadi ‘musuh’ dengan parti lain tapi di dalam Kerajaan Madani demi kesepaduan dan kesejahteraan negara dan rakyat, UMNO mampu bekerjasama dengan baik dan rasional.

“Keberadaan UMNO dalam Kerajaan Madani juga menunjukkan bahawa UMNO adalah parti yang rasional, yang mengutamakan rakyat dan perpaduan nasional,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.