Kesejahteraan Sosio-Ekonomi Lebih Baik Selepas Setahun Pentadbiran Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez berpendapat pentadbiran Kerajaan Perpaduan ‘Malaysia Madani’ ini telah berjaya membawa negara berada di kedudukan yang lebih baik terutamanya dari segi kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat dan daya saing negara di pentas antarabangsa.

Jelasnya, setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan dapat dilihat bahawa pertumbuhan ekonomi negara semakin meningkat menerusi kemasukan pelaburan asing dengan nilai yang lebih tinggi berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini.

“Beberapa ‘key indicator’ adalah pertumbuhan ekonomi yang lebih baik iaitu sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 berbanding 4.8 peratus bagi suku pertama 2022, menurut Kad Laporan Tujuh Bulan Kerajaan Perpaduan (siri dua), pertumbuhan ekonomi Malaysia juga lebih baik berbanding negara serantau seperti Indonesia (5 peratus) dan Vietnam (3.3 peratus), serta China (4.5 peratus).

“Jumlah pelaburan domestik dan asing di Malaysia meningkat kepada RM71.4 bilion bagi suku pertama 2023 berbanding RM44.7 bilion bagi suku pertama 2022, menurut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Selain itu juga, indeks persepsi rasuah Malaysia bertambah baik di mana negara berada di kedudukan ke 61 daripada keseluruhan 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 yang diterbitkan oleh Transparency International (TI),” katanya kepada UMNO Online di sini.

Seterusnya kata Azman, kedudukan ini adalah lebih baik berbanding tangga ke 62 pada tahun 2021 dan Malaysia menduduki tangga kedua terbaik antara negara Asia Tenggara selepas Singapura.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling menjelaskan Kerajaan Perpaduan juga tidak terkecuali memberikan pelbagai inisiatif pada golongan B40 dan miskin tegar.

“Selain itu golongan B40 dan miskin tegar adalah antara penerima manfaat utama menerusi pelbagai inisiatif yang bertujuan mengurangkan beban hidup rakyat serta memperkasakan ekonomi negara seperti melalui pelbagai pakej ‘Rahmah’ yang dilaksanakan di bawah ‘Payung Rahmah’.

“Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Jualan Rahmah adalah antara tiga pakej yang mendapat sambutan hangat individu kurang berkemampuan terutamanya B40 dan miskin tegar.”

Dalam masa yang sama kata Azman lagi, beberapa kejayaan dan perubahan baharu bagi memperkasakan Parlimen selaras dengan semangat reformasi institusi turut dilaksana.

“Reformasi Parlimen juga antara pencapaian awal Kerajaan Perpaduan di mana sesi soal jawab Perdana Menteri (PMQ) telah diperkenalkan di Dewan Rakyat untuk membolehkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab persoalan yang ditujukan kepada beliau dalam ruang waktu yang diperuntukkan.

“Sesi khas julung kali yang akan diadakan pada setiap hari selasa ini adalah antara pembaharuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan semenjak mengambil alih tampuk kepimpinan negara.

“Segala perancangan Kerajaan Perpaduan dapat terus diterjemahkan agar negara akan terus maju dan pada masa sama kebajikan dan kualiti kehidupan rakyat terjamin,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.