Wanita UMNO Hargai Kejayaan Sumbangan Untuk Tabung Palestin


KUALA LUMPUR, 7 Dis – Wanita UMNO menzahirkan penghargaan kepada semua pihak lantaran kejayaan mengumpul sumbangan buat Tabung Palestin berjumlah RM621,954.60.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata sumbangan tersebut amat bermakna bagi mereka yang sangat-sangat memerlukan ketika ini.

“Terima kasih atas sumbangan semua. Sumbangan anda amat bermakna bagi mereka yang memerlukan. Semoga Allah swt gantikan setiap kebaikan kita dengan gunung-gunung emas di syurga kelak, Allah swt berikan rezeki yang barakah seperti mengalirnya air zamzam dan Allah swt makbulkan segala doa dan permintaan yang kita perlukan di dunia dan akhirat,” katanya.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyaksikan sumbangan Misi Bantuan Rakyat Palestin daripada Wanita UMNO Malaysia untuk diserahkan kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Terdahulu, Wanita UMNO Malaysia telah melancarkan Tabung Palestin ‘Kembalikan Senyuman Kepada Mereka’ yang digerakkan ke seluruh negara melalui Skuad Sayang.

Komandannya, Hisham Suhaily Othman turut melahirkan rasa syukur dan tidak menyangka mendapat sambutan hasil keprihatinan daripada Wanita UMNO peringkat Negeri, Bahagian dan Cawangan yang telah menggerakkan kutipan ‘Tabung untuk Palestin Skuad Sayang 3K’.

“Kutipan ini telah diinisiatifkan dan dilancarkan oleh YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang menunjukkan keprihatinan Wanita kepada nasib yang menimpa rakyat Pelestin terutama kepada golongan wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Jelasnya, kutipan tabung tersebut masih lagi diteruskan dan dialu-alukan kepada semua yang ingin menyumbang.

Laporan perkembangan terkini memaklumkan rakyat Palestin di Gaza hidup dalam situasi yang semakin buruk ketika mereka terus diserang tanpa henti oleh Israel dan dihukum secara kolektif. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.