Puisi Kenangan Bapak Malaysia – Sempena Memperingati Kemangkatan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Sempena memperingati kemangkatan Almarhum Yang Teramat Mulia
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hari ini
06 Disember 2023 yang ke-23 tahun (06 Disember 1990)


Bapak Kemerdekaan,
Terangnya Nur keramat dibumi Tanah Melayu/Malaya
Kurniaan Allah Putera Raja
Untuk watan dan Bangsa
Berdarah Raja berjiwa rakyat biasa
Mengharungi kesangsaraan semata-mata
untuk watan yang tercinta
Mengorbankan kedudukan dan harta semata-mata
Untuk perjuangan Bangsa.

Bapak Kemerdekaan,
Jiwa Mu sentiasa tenang penuh dengan aroma, bakti
Sentiasa dihiasi taman yang segar perjuangan sejati
Sunguhpun sarat berdepan rakyat yang tidak batasi
Tetap tabah meneruskan perjuangan tanpa gentar
menegak Misi dan Visi

Bapak Kemerdekaan,
Mu bagai purnama sentiasa terang sinaranya
Kesegenap pelusuk alam maya bumi bertuah yang indah
mempersona.
Jasa dan bakti Mu bertibaran bak mutiara
Menjadi hiasan wajah cemerlang
pengikut dan rakyat jelata
Pengorbanan dan jasa bakti Mu seluas lautan biru dan
seluas hutan belantara dan angkasa raya.

Bapak Kemerdekaan,
Kehebatan kepimpinan Mu
dibantu dengan penuh taat dan setia
oleh Pembantu Perkasa
Abdul Razak Hussein
Wira yang gigih bekerja
Yang kurang berbicara
Fikiranya pelita hati,
Tenangnya hulu bicara,
Keningnya seribu akal geliga.

Berdada lapang, panjang fikiranya
Jenih muka, fasih lidahnya bertutur dan bercakap pada
yang beradab dan yang bermakna
Sangat bijak dalam meneka dan bertindak
Sentiasa cermat awasi dalam memerhati dan lihat
Tuahnya memiliki Pembantu yang amanah jujur dan
hormat.

Bapak Kemerdekaan,
Mu sentiasa tekun mengharungi duri dan onak
Mu sentiasa tekun menungkah gelombang arus
Mu, Jika marah dalam ketawa
Mu, Jika senyum dalam susah
Bapak Kemerdekaan,
Mu, memimpin sentiasa sedar yang dipimpin
Mu, Menegur sentiasa sedar yang ditegur
Mu, Mengarah sesuatu sentiasa sedar yang diarah
Mu, Menghukum sentiasa sedar yang dihukum
Mu, Memuji sentiasa sedar yang dipuji
Mu, Menguji sentiasa sedar yang diuji
Mu, Membantu dan Menolong sentiasa sedar kepada yang
ditolong

Bapak Kemerdekaan,
Mu, Sentiasa peka dan berdiri teguh pada yang benar
Itulah Bapak Kemerdekaan yang kita Hormati,
sayangi dan tetap diingati dengan tidak akan dilupai
Aamin.

Nukilan
Tan Sri Dato’Seri (Dr) Haji Mohd Yussof Latiff
Tokoh Melayu Terbilang UMNO 2017
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang)

 

****************************************

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.