Tidak Mustahil Raja Mohamed Affandi Dilantik Anggotai Kabinet – Prof Dr Azmi

KEMAMAN, 1 Dis. – Calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor tidak mustahil bakal dilantik dalam Kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim jika menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Sabtu ini.

Pakar geostrategik, Prof Dr Azmi Hassan berkata, sebagai mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Raja Mohamed Affandi mempunyai latar belakang profesional dan ini selari dengan apa yang dikehendaki oleh Perdana Menteri.

“Jika Raja Mohamed Affandi menang, besar kemungkinan Perdana Menteri akan melantiknya ke satu jawatan penting kerana beliau dilihat sebagai seorang profesional.

“Pada masa yang sama Perdana Menteri mengalu-alukan seorang profesional untuk menduduki bukan sahaja dalam Kabinet tetapi juga dalam jawatankuasa tertentu supaya tatakelola akan menjadi lebih efisyen,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Anwar memberi bayangan, akan memberikan jawatan penting kepada Raja Mohamed Affandi jika beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini.

Perdana Menteri berkata, Raja Mohamed Affandi mempunyai rekod yang sangat cemerlang dalam perkhidmatan sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ini dan peluang itu tidak harus disia-siakan.

“Saya harap dengan kedudukan beliau, sebagaimana yang disebut oleh Datuk Seri Mohamad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara) tadi, saya percaya kalau dia jadi ahli Parlimen, takkan nak jadi yang biasa.

“Sudah tentu kita bagi tugas supaya hubungan (Kemaman) dengan kerajaan Perdana Menteri baik. Ingat saudara, kita pastikan kemenangan Barisan Nasional,” katanya dalam Ceramah Mega Perpaduan Madani Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman di Geliga pada malam Rabu.

Azmi berkata, pemilihan Raja Mohamed Affandi sebagai calon BN dalam PRK Kemaman penting bukan sahaja kredibilitinya sebagai bekas Panglima ATM tetapi juga kerana beliau tidak terkait dengan politik UMNO.

“Itu penting kerana mungkin rakyat Terengganu was-was untuk mengundi UMNO kerana konon masalah parti itu sendiri.

“Sebab itu mencalonkan orang bukan politik akan memberi manfaat terhadap UMNO serta Perdana Menteri dalam mengurus tadbir negara,” katanya.

Azmi berharap pengundi Kemaman dapat membuat keputusan yang tepat kerana apa juga keputusan Sabtu ini, Terengganu akan tetap sebagai nehgeri pembangkang di peringkat nasional.

Bagaimanapun, katanya, jika Kemaman diberikan kepada BN, parti itu dapat melakukan sesuatu dari sudut pembangunan dalam tempoh empat tahun menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“…maka itu akan menjadi isyarat penting bagi penduduk Terengganu kalau bersama Kerajaan Perpaduan maka manfaat akan datang juga kepada mereka,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.