PRK Kemaman: Pilih Calon Boleh Beri Khidmat, Jangan Ikut Sentimen – Azalina

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said mengingatkan para pengundi di Kemaman untuk memilih calon yang boleh berkhidmat dan tidak mengundi ikut sentimen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Ini kerana katanya, mereka perlu fikirkan masa depan rakyat di Kemaman selepas hari pengundian.

“Isunya ialah… saya selalu nak mengingatkan pengundi apabila mereka keluar untuk melunaskan tanggungjawab, mereka tidak boleh mengundi atas dasar suka atau tidak.

“Mereka perlu fikir apabila tibanya 3 Disember, selepas semua jentera pulang yang tinggal hanya mereka sahaja. Tetapi, apa yang kita mahukan ialah supaya orang Kemaman adalah untuk orang Kemaman.

“Ceritanya selepas hari pengundian, siapa yang akan bawa suara orang Kemaman? Itu sebabnya bagi saya kita perlu undi dengan memikirkan masa depan, dalam masa lebih kurang tiga tahun sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16,” katanya menerusi hantaran di video di laman Facebooknya.

Jelasnya, calon yang dipertaruhkan oleh UMNO/Barisan Nasional (BN) merupakan anak tempatan dan mampu untuk membawa sebarang isu tempatan ke parlimen mahupun mesyuarat-mesyuarat penting.

“Kalau tidak, yang ruginya adalah orang tempatan. Satu, beliau merupakan bekas jeneral dan anak tempatan. Beliau boleh menimbulkan isu-isu, bertanyakan soalan bukan sahaja di parlimen tetapi di mesyuarat-mesyuarat antara pusat dan negeri.

“Pilih kerana kita mahukan seseorang yang dapat memberikan khidmat kepada kita dan keluarga kita. Itu sebenarnya pesan saya untuk 2 Disember ini,” katanya.

Untuk rekod, UMNO/BN mempertaruhkan Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon untuk PRK Kemaman kali ini.

Beliau juga merupakan anak jati Kemaman dan sebelum ini pernah menghulurkan khidmat bakti kepada rakyat meskipun tidak memegang sebarang jawatan dalam politik.

Pas/Perikatan Nasional (PN) pula meletakkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar bagi mengekalkan kedudukan parti di kerusi tersebut.

Namun, Ahmad Samsuri telah mempunyai tanggungjawab sebagai seorang Menteri Besar dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Redang. Tambahan pula, beliau bukanlah seorang anak jati Kemaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman, Terengganu, pada 2 Disember depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November, manakala hari pengundian awal (28 November). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.