Pengalaman, Kepakaran Raja Mohamed Affandi Tidak Boleh Disangkal, Besar Jasanya Kepada Rakyat Kemaman

KEMAMAN, 1 Dis – Pengarah Komunikasi UMNO Datuk Lokman Noor Adam yakin dengan pengalaman dan kepakaran calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dalam menjaga kebajikan rakyat Kemaman.

Kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, jasa terbesar yang ditabur oleh Raja Mohamed Affandi adalah semasa menjadi Panglima Tentera Darat dengan membantu rakyat Kemaman ketika banjir besar melanda kawasan tersebut pada tahun 2013.

“Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor adalah calon BN yang cukup baik kerana mempunyai pengalaman yang cukup luas walaupun dalam bidang ketenteraan.

“Bukan satu perkara yang mudah untuk menjadi ketua angkatan tentera menjaga tentera udara, darat dan laut semua di bawah kawalannya. Dengan pengalaman dan kepakarannya yang ada setakat nak jaga Kemaman ini insya-Allah tidak ada sebarang masalah.

“Beliau juga mempunyai banyak jasa di Kemaman ini terutamanya dalam menguruskan banjir (2013) dan sebagainya. Semasa zaman banjir ketika zaman Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek banyak minta bantuan anggota tentera, jentera-jentera dan sebagainya daripada beliau. Jadi Kemaman ini tidak asinglah bagi beliau walaupun bukan dilahirkan di sini tetapi membesar dan bersekolah di sini,” katanya kepada UMNO Online.

Oleh itu ujarnya, isu yang dimainkan oleh Pas terhadap Raja Mohamed Affandi sangat tidak relevan jika dibandingkan dengan calon mereka sendiri yang langsung tiada kaitan dengan Kemaman.

“Kita hendak beritahu selama hari ini Pas boleh hantar orang dia ke mana sahaja, tak pernah jadi isu… kalau kita tengok calon Pas bukan orang sini, dari tempat lain.

“Kalau Pas boleh letak pemain bola sepak yang bukan ahli politik sebagai calon, mengapa tidak UMNO… tidak boleh ketengahkan seorang bekas Panglima Angkatan Tentera sebagai calon.

“Tidak bererti kita tidak ada calon lain yang lebih berkelayakan tetapi kita ada seorang bekas Panglima Angkatan Tentera yang mahu menyumbang balik khidmat beliau kepada rakyat,” katanya.

Jelasnya lagi, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman ini merupakan peluang kepada rakyat untuk mewujudkan jambatan antara mereka dengan kerajaan pusat.

“Inilah peluang untuk menjadikan Kemaman ini sebagai jambatan. Jika Tan Sri menang setidak-tidaknya di negeri Terengganu ada seorang ahli Parlimen wakil Kerajaan Persekutuan.

“Jangan lupa ada lima orang wakil rakyat pembangkang beralih sokongan kepada Kerajaan Perpaduan kerana gagal jaga kawasan masing-masing bila tidak berada di dalam kerajaan,” ujarnya.

Manakala katanya berbeza dengan Pas yang meletakkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon mereka yang tidak terbukti tidak mampu menjaga kawasan dengan sebaiknya.

“Kena faham bahawa Samsuri ini sudah terbukti kawasannya pun tak boleh dijaga dan ketika menjadi menteri besar kawasannya sudah berhadapan dengan banjir… orang dah masuk ke pusat pemindahan sementara, dia masih boleh meneruskan percutian di Auckland.

“Kalaulah sebagai menteri besar, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tak boleh nak jaga kawasan dan negerinya, macam mana nak bagi dia tugas tambahan sebagai seorang ahli Parlimen. Jadi rakyat di Kemaman fikir dengan sehabis baik,” serunya.

Manakala bercakap mengenai kedudukan Islam di bawah Kerajaan Perpaduan, UMNO katanya tetap menjaga kepentingan agama Islam dan orang Melayu.

“Hari ini yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, yang meletakkan tentang hak keistimewaan orang Melayu dalam perlembagaan, kedudukan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu Bahasa kebangsaan ialah UMNO.

“UMNO hari ini berada di dalam Kerajaan Perpaduan. Selagi UMNO berada di dalam Kerajaan Perpaduan ini, insya-Allah kepentingan Islam, orang Melayu tetap akan dijaga,” tegasnya.

Untuk rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada PRU15 disebabkan wujud bukti perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara calon BN Raja Mohamed Affandi yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera dan Pas yang mempertaruhkan Ahmad Samsuri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.