Momentum Sokongan Kepada Calon BN Semakin Baik, Positif

KEMAMAN, 1 Dis – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berharap Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali kerusi Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Katanya, sepanjang berkempen beliau melihat satu perkembangan dan momentum yang positif ditunjukkan oleh rakyat terhadap calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

“Insya-Allah, satu perkembangan yang menarik kerana satu momentum baik, positif dan ada petanda-petanda di pusat-pusat daerah mengundi (PDM), lokaliti. Ini menunjukkan bahawa ada semacam kesungguhan untuk melihat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi ini diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau ditemui selepas mengadakan ziarah kasih di kawasan Gong Chengal, Kemasik di sini.

Begitu juga katanya di peringkat jentera tempatan dan daripada negeri-negeri lain yang bekerja keras berusaha bagi memastikan kemenangan BN.

Mengulas mengenai ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramah mega pada Rabu malam yang mengatakan jika Raja Mohamed Affandi menang di Kemaman akan diberi tanggungjawab yang lebih penting, Mahdzir berkata ia sesuatu yang positif bagi rakyat.

“Itu menunjukkan bahawa Perdana Menteri sudah bagi satu respon yang sangat positif kepada penduduk Kemaman. Jadi, kepada pengundi Kemaman saya berharap bahawa dapat faham apa yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri mengenai masa depan mereka,” katanya.

Justeru itu, Mahdzir menyeru rakyat Kemaman dapat memberi peluang kepada Raja Mohamed Affandi dengan mengundi bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia itu pada Sabtu ini.

“Kepada seluruh pengundi yang ada di Kemaman dan yang akan turun mengundi pada Sabtu ini 2 Dis saya berharap berilah peluang, kesempatan kepada Raja Mohamed Affandi calon nombor satu dalam kertas undi iaitu calon Barisan Nasional.

“Berilah peluang kepada beliau untuk mewakili tuan-tuan dan puan-puan sebagai ahli Parlimen Kemaman,” serunya.

Untuk rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada PRU15 disebabkan wujud bukti perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang juga bekas Panglima Angkatan Tenteta dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.