Raja Mohamed Affandi Calon Tepat Wakili Citarasa Rakyat Kemaman – Mohd Zaidy

KEMAMAN, 30 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata rakyat Kemaman beruntung kerana Barisan Nasional (BN) mengetengahkan bekas Panglima Angkatan Tentera sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.

Ujar bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan itu, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor adalah adalah calon yang betul-betul tepat dan mengikut citarasa rakyat Kemaman.

“Kelebihan calon ini adalah anak jati di sini, orang Kemaman untuk Kemaman. Beliau dahulu panglima tentera banyak pengalaman dari segi pentadbiran, jati diri, disiplin, menepati masa dan banyak tempat (beliau) mendapat respon baik dari rakyat.

“Walaupun (bekas) panglima tetapi apabila berjumpa rakyat beliau merendah diri, orang yang baik, peramah, boleh santuni orang tua dan muda. Jadi saya berharap supaya rakyat telah diberi peluang kali kedua, jadi buatlah pilihan terbaik supaya jangan diulangi perkara-perkara yang lama,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui di Felda Neram 1 baru-baru ini.

Jelasnya, sebagaimana contoh terbaharu ahli Parlimen pembangkang dari kawasan Bukit Gantang yang telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, seharusnya di Kemaman rakyat perlu menolak calon selain wakil daripada Kerajaan Perpaduan.

Sebelum ini, ahli Parlimen pembangkang dari Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang dan Jeli berubah sokongan daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) kepada Kerajaan Perpaduan.

Seterusnya ulas Mohd Zaidy, daripada lapan kerusi Parlimen yang ada di Terengganu, rakyat diseru supaya dapat memberikan satu kerusi di Kemaman ini kepada BN agar wujud pembaharuan dan kemakmuran.

“Kemaman ini sebenarnya tempat yang paling baik, banyak industri, Petronas, Perwaja… jadi anak-anak muda peluang pekerjaan bertambah baik sekiranya pilihan tepat dibuat pada hari membuang undi 2 Dis.

“Saya merayu kepada orang Kemaman undilah yang terbaik, buat pilihan tepat, jangan ulangi kesilapan yang telah dibuat dahulu. Kali ini pastikan pangkah BN untuk memastikan Kerajaan Perpaduan terus mentadbir negara dengan penuh kestabilan dan kemakmuran,” katanya.

Untuk rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada PRU15 disebabkan wujud bukti perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang juga bekas Panglima Angkatan Tenteta dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.