Pas Jangan Bongkak, Orang Kemaman Tak Mahu Wakil Rakyat ‘Botol Air’ – Rosni

KEMAMAN, 30 Nov – Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Sohar mengingatkan Pas untuk tidak terlalu bercakap besar apabila menyatakan kemenangan berpihak kepada mereka meskipun meletakkan botol air sebagai calon.

Katanya, ini jelas membuktikan bahawa Pas sebagai parti yang bongkak kerana hanya mementingkan kemenangan tanpa memikirkan sensitiviti terhadap pengundi yang mahukan kebajikan mereka terbela.

“Jangan cakap besar kerana Allah dengar, sebab kalau botol air dengan mainkan isu, untuk apa? Sedangkan rakyat tidak terbela dan sebagainya.

“Paling penting adalah undi mesti dapat sesuatu bukan undi tunggul kayu, baik kita undi yang lebih baik dan bagus. Isu ini dimainkan oleh Pas sebab mereka ini bongkak dan sombong kerana mereka rasa boleh menang tetapi yakin dan percaya ketentuan Allah.

“Walaupun kita ini orang UMNO jangan rasa kita ini letak agama di belakang kerana agama di atas untuk dijunjung sebab itu Kerajaan Perpaduan meletakkan bahawa Islam tidak boleh disentuh langsung, itu janji kami pemimpin UMNO dan semua rakyat kena sedar perkara ini dan jangan sesekali bercakap seperti itu,” katanya ketika ditemui UMNO Online bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemanan.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Selangor berkata PRK ini perlu dimanfaat oleh rakyat di sini bagi memilih wakil rakyat yang mampu membawa suara pembangunan di kawasan.

Katanya apatah lagi, calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak mempunyai tanggungjawab lain, berbanding calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang merupakan Menteri Besar Terengganu.

“Raja Mohamed Affandi sebagai jambatan rakyat kepada Persekutuan supaya mereka boleh dapat segala peruntukan, perkara yang diperlukan melalui agensi dan kementerian.

“DUN memang Perikatan Nasional jaga, jadi jangan lepaskan peluang penting ini. Menteri Besar sudah la jaga la negeri ini tetapi dia hendak pergi ke Persekutuan pula sebab ini akan menjadi cabaran, duduk sebulan di Parlimen negeri akan tertinggal.

“Jadi beri peluang kepada Raja Mohamed Affandi yang tiada komitmen lain maka dia boleh memanfaatkan segala tanggungjawab,” ujar beliau.

Untuk rekod, Raja Mohamed Affandi yang sudah berkhidmat 43 tahun bersama ATM, berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan.

Beliau berhadapan dua penjuru dengan calon Pas, Dr Ahmad Samsuri. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.