Orang Muda Jangan Persiakan Undi, Calon BN Terbaik Tabur Khidmat Bakti – Nurul Amal

KEMAMAN, 30 Nov – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menasihati pengundi golongan muda khususnya agar tidak mempersiakan peluang dan undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Ujarnya, golongan muda diharapkan dapat memilih Barisan Nasional (BN) kerana menampilkan seorang bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang banyak menabur khidmat bakti dan berjasa kepada negara.

“Kepada orang Kemaman khususnya orang muda jangan persiakan undi anda, pilihlah orang yang terbaik untuk korang dan juga Kemaman.

“Tan Sri ini bekas jeneral (PAT) dan khidmat dan budinya kepada negara sangat besar. Jadi angkatlah beliau sebagai ahli Parlimen korang supaya Tan Sri boleh jaga korang. Walaupun lahir di Besut tetapi membesar di Kemaman… bila balik ke sini beliau rasa seperti balik ke kampungnya. Jadi, orang kampungnya kena beri sokongan dan peluang kepadanya untuk berkhidmat di sini,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau ditemui selepas program ‘walkabout’ di Felda Neram 2, Bandar Baru Cheneh, di sini.

Untuk rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada PRU15 disebabkan wujud bukti perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang juga bekas Panglima Angkatan Tenteta dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian.

Menyentuh mengenai golongan muda, Nurul Amal berkata ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian.

“Isu kepada orang muda adalah pekerjaan dan juga pembangunan. Orang muda undinya ‘silent voters’ tidak jelas sama ada menolak atau menyokong… akan berubah setiap kali pilihan raya sama ada pilihan raya umum, pilihan raya negeri mahupun PRK.

“Jadi saya harap di PRK Kemaman ini ada perubahan undi orang muda kerana calon kita pun bagus, kita tonjolkan produk yang bagus untuk PRK ini,” katanya lagi.

Mengenai gerak kerja kempen, Nurul Amal berkata Puteri UMNO semakin giat mengadakan sesi ‘walkabout’ mendekati seberapa ramai pengundi dan pelbagai aktiviti dilaksanakan bersama kumpulan sasar. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.