Latar Belakang, Anak Jati Kemaman Kelebihan Calon BN Tawan Pengundi

KEMAMAN, 30 Nov – Calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mempunyai kelebihan berdasarkan pengaruh dan latar belakang dimiliki, kata Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.

Katanya selain daripada itu, faktor sebagai anak tempatan dan keperibadiannya yang senang didampingi mampu menambat hari warga Kemaman menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen 2 Dis ini.

“Dari segi profile calon kita sangat kuat latar belakang sebagai bekas Penglima Angkatan Tentera, paling penting anak tempatan.

“Kita berkeyakinan sepanjang pengalaman calon bersama dengan kerajaan terutama di peringkat ATM kemungkinan banyak perkara yang beliau boleh lakukan termasuk kepentingan orang Kemaman.

“Calon kita sangat ramah walaupun ada yang tak kenal tambah pula muka dia yang agak serius tetapi apabila bersembang dia benar-benar sangat merendah diri yang mungkin boleh memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat Kemaman,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Rizalman yang juga Setiausaha UMNO Wilayah Persekutuan berharap pengundi pada PRK membuat pilihan yang bijak dengan memilih Raja Mohamed Affandi sebagai ahli Parlimen mereka bagi membawakan isu-isu rakyat kepada Kerajaan Perpaduan.

“Saya minta agar pengundi dapat memberi pertimbangan dan membuat keputusan bersama-sama dengan BN calon yang bersama Kerajaan Perpaduan daripada lapan kerusi Parlimen Terengganu semuanya dimenangi PN dan Pas jadi kalau dapat satu maknanya Kemaman mewakili keseluruhan negeri ini bagi pihak kerajaan perpaduan,” ujar beliau.

PRK Kemaman ini perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Untuk rekod BN mempertaruhkan Raja Mohamed Affandi, 66 tahun. Beliau berdepan cabaran dua penjuru dengan calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Raja Mohamed Affandi berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.