Golongan Muda Diseru Guna Kuasa Undi Pilih BN, Kemaman Dekat Di Hati Raja Mohamed Affandi

KEMAMAN, 30 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis Datuk Rozabil Abdul Rahman menyeru golongan muda supaya menggunakan kuasa undi di tangan mereka dengan cara yang lebih bijak dengan meletakkan harapan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada hari pengundian Sabtu ini.

Kata Ketua UMNO Bahagian Arau itu, ini adalah untuk membantu mereka dan juga masyarakat kampung sekiranya Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dipilih sebagai wakil rakyat Parlimen Kemaman.

“Jangan kita rugikan undi dengan memberi undi kepada seorang calon yang telah pun mempunyai jawatan di dalam kerajaan negeri.

“Sekiranya anak muda dapat memberi peluang kepada calon BN ini untuk menjadi wakil rakyat pada 2 haribulan Dis nanti, sudah tentu mereka akan mendapat khidmat daripada wakil rakyat yang mewakili parti yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan bersama hampir seratus pengundi muda di Cawangan Meraga Beris, di sini, malam tadi.

Seterusnya, beliau menerangkan bahawa Raja Mohamed Affandi yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia bukanlah individu yang asing kepada orang Kemaman.

“Inilah calon yang kita mahukan kerana beliau telah membantu rakyat di Kemaman sejak beliau menjadi Panglima Angkatan Tentera lagi.

“Pada waktu dan ketika itu, beliau tidak pernah mengimpikan untuk menjadi calon dan berkecimpung dalam bidang politik. Ini jelas menunjukkan bahawa calon BN ini meletakkan Kemaman dekat di hati beliau.”

Untuk rekod, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disebabkan wujud bukti perlakuan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara calon BN Raja Mohamed Affandi dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.