Tindakan Pengecut Dan Terdesak Pihak Tertentu Godam FB Raja Mohamed Affandi – Ahmad Said

KEMAMAN, 29 Nov – Pengarah Jentera Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said meluahkan kekesalan beliau ekoran tindakan pihak-pihak tertentu yang telah menggodam akaun Facebook calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor.

Jelas beliau, tindakan itu merupakan usaha terdesak dan pengecut oleh pihak tertentu untuk melemahkan sokongan pengundi Kemaman kepada Raja Mohamed Affandi yang popularitinya terus meningkat menjelang hari pengundian Sabtu ini.

“Saya telah mengarahkan laporan dibuat kepada Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia agar siasatan boleh dilakukan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap pelaku.

“Saya percaya insiden seperti ini tidak sesekali melemahkan semangat juang Raja Mohamed Affandi dan seluruh jentera parti yang bertungkus-lumus berkempen bagi memastikan kemenangan BN dalam PRK ini,” ujar beliau.

Laman rasmi Facebook Raja Mohamed Affandi yang berkongsi aktiviti kempen seharian beliau dikenalpasti telah digodam pada hari ini.

Bagaimanapun, akaun Facebook baharu dibuat bagi meneruskan perjalanan serta gerak kerja beliau sepanjang PRK ini.

Raja Mohamed Affandi, 66 tahun yang merupakan bekas Panglima Angkata Tentera Malaysia (ATM) dan sudah berkhidmat 43 tahun dengan badan beruniform itu berdepan satu lawan satu dengan calon Pas yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.