PRK Kemaman: Calon BN Kesal Facebook Digodam Pihak Tidak Bertanggungjawab

KEMAMAN, 29 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor kesal kerana akaun Facebooknya digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, ini adalah satu tindakan yang tidak sihat dalam berkempen dan seterusnya mahu melemahkan gerak kerja BN.

“Assalamualaikum, dengan rasa kecewa saya Ingin mengesahkan FB (Facebok) Page yang digunakan untuk tujuan kempen saya telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Rasa kecewa ini kerana kaedah yang digunakan dalam peperangan PRK adalah secara tidak sihat.

“Saya tidak tahu apakah tujuan penggodam akan tetapi saya yakin ianya adalah salah satu cara melemahkan kempen Barisan Nasional di PRK Kemaman ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ulasnya, tanpa mengalah beliau menggiatkan usaha dalam baki berkempen dengan menggunakan akaun Facebook yang baharu.

Untuk rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada PRU15 disebabkan wujud bukti perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara calon BN Raja Mohamed Affandi yang juga bekas Panglima Angkatan Tenteta dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.