Tak Payah Undi Pas, Biar MB Fokus Jaga Negeri – Pehimi

KEMAMAN, 28 Nov – Pengundi Kemaman diharap memberikan peluang kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk fokus kepada agenda membangunkan negeri, kata Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof.

Menurut beliau, malah calon Pas itu juga tidak menggunakan minggu berkempen untuk bertemu pengundi kerana sibuk dengan urusan pembentangan bajet negeri di sidang Dewan Undangan Negeri.

“Kita mohon supaya calon Pas bekerja dengan lebih gigih lagi untuk membangunkan negeri Terengganu, tak payah rakyat Kemaman ganggu calon Pas biarlah dia bagi tumpuan untuk jaga negeri sebaik mungkin dengan duit yang ada.

“Lagipun ada bajet untuk diluluskan dalam pembentangan DUN RM1.8 bilion dengan duit banyak ini kita minta supaya janganlah rakyat Kemaman ganggu Menteri Besar.

“Kita minta supaya calon Barisan Nasional (BN) diberi peluang untuk menjadi Ahli Parlimen dan menjadi batu loncatan untuk kerajaan Pusat membantu Kemaman dan Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media yang diadakan di Pejabat UMNO Bahagian Kemaman sempena Pilihan Raya Kecik (PRK) Parlimen, semalam

Muhammad Pehimi yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut berkata tindakan pimpinan Pas yang mengeluarkan kenyataan berbaur angkuh seperti terlalu yakin dengan  kemenangan juga suatu yang menjengkelkan.

Katanya, pengundi Kemaman seharusnya memberi pengajaran kepada mereka dengan menolak parti itu pada 2 Dis ini.

“Saya kata mereka terlalu yakin kerana kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh mereka dan calon yang seolehnya mereka tidak perlu berkempen dengan cara yang agresif.

“Kita ini pula berkempen ada empat hari lagi maknanya mereka rasa sangat yakin dan saya difahamkan mereka meletakkan DUN untuk menguruskan kempen.

“Sebab itu saya katakan bahawa rakyat Kemaman boleh berfikir dalam tempoh berkempen ini pun beliau tidak mampu untuk datang berjumpa dengan masyarakat dan pengundi apa tah lagi selepas ditakdirkan mereka menang,” ujar beliau.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Pas Dr Ahmad Samsuri.

Raja Mohamed Affandi berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan.

Beliau adalah bekas Panglima Angkata Tentera Malaysia (ATM) dan sudah berkhidmat 43 tahun dengan badan beruniform itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.