PRK Kemaman: Pilih Wakil Rakyat Yang Boleh Berkhidmat, Bukan Jumpa Hanya Untuk Raih Undi – Dr Akmal

KEMAMAN, 28 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mengingatkan orang Kemaman supaya memilih wakil rakyat yang boleh berkhidmat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Jelasnya, rakyat memerlukan pemimpin yang sentiasa berada bersama mereka dan bukannya berjumpa hanya untuk meraih undi.

“Kita nak pilih pemimpin yang boleh berkhidmat untuk kita. Bukan pemimpin yang hanya nak jumpa kita ketika nak minta undi sahaja.

“Mana yang tidak menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) pun saya minta dengar. Tolong. Hari ini kita nak cari pemimpin yang boleh berkhidmat 24 jam. Saya wakil rakyat. Saya diajar oleh UMNO untuk berkhidmat 24 jam tidak mengira masa.

“Itu yang diajarkan kepada saya. Saya tidak mahu pemimpin saya, pemimpin yang hanya sekadar atas kertas sahaja,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebooknya.

Jelasnya, sekiranya Perikatan Nasional (PN) diberi tempat oleh rakyat di Kemaman ini maka mereka akan merasa selesa dengan kedudukan yang dimiliki.

“Saya ini orang politik. Saya nak bagitahu rakyat di luar sana, jangan bagi orang-orang politik ini hidup selesa. Sebab apabila mereka selesa, mereka akan lupakan rakyat di bawah ini. Sebab itulah hari ini kalaulah Kemaman ini Perikatan Nasional (PN) menang, percayalah cakap saya… Kemaman akan dilupakan di hati mereka.

“Apa kata Naib Presiden Pas? Kalau Pas bertanding di Kemaman ini letak botol air pun menang. Hina sangat ke orang Kemaman ini? Tidak boleh membezakan botol air dan orang? Sebab mereka yakin letak apa pun, buat apa pun… tak buat kerja, jadi wakil rakyat, tak tengok rakyat sakit pun tidak mengapa. Kita boleh menang,”

“Jangan bagi orang politik hidup selesa. Kalau bagi kemenangan yang ini, percayalah orang-orang politik ini (PN) akan rasa tidak kisah… walau apa pun terjadi orang akan pilih parti aku, aku tak perlu nak buat kerja. Jadi orang Kemaman, sebab itu saya kata jangan jadi bodoh dan saya tahu orang Kemaman pandai-pandai belaka,” katanya lagi.

Untuk rekod, UMNO/BN mempertaruhkan Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon untuk PRK Kemaman kali ini.

Beliau juga merupakan anak jati Kemaman dan sebelum ini pernah menghulurkan khidmat bakti kepada rakyat meskipun tidak memegang sebarang jawatan dalam politik.

Pas/PN pula meletakkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar bagi mengekalkan kedudukan parti di kerusi tersebut.

Namun, Ahmad Samsuri telah mempunyai tanggungjawab sebagai seorang Menteri Besar dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Redang. Tambahan pula, beliau bukanlah seorang anak jati Kemaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman, Terengganu, pada 2 Disember depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November, manakala hari pengundian awal (28 November). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.