PRK Kemaman Peluang Kedua Untuk Rakyat, Pilih Wakil Rakyat Bawa Kebaikan – Rozi

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat berpandangan bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman ini merupakan peluang kedua buat rakyat untuk memilih wakil rakyat yang membawa kebaikan kepada mereka.

Ini kerana katanya, PRK ini diadakan semula kerana Mahkamah Pilihan Raya telah membatalkan kemenangan Pas di kerusi tersebut akibat berlakunya pelanggaran peraturan semasa tempoh berkempen.

“Saya melihat PRK ini merupakan satu peluang baharu kepada rakyat di Kemaman oleh Allah SWT. Ada orang kata pilihan raya ini diadakan semula sebab UMNO/Barisan Nasional (BN) ini gila kuasa. Tak betul tu.

“Sebenarnya, PRK ini berlaku adalah disebabkan keputusan mahkamah yang membatalkan kemenangan mereka (Pas) kerana telah melanggar peraturan pilihan raya semasa berkempen. Dalam hal ini, tidak kira UMNO atau Pas… kalau langgar peraturan memang akan kena tindakan.

“Daripada peristiwa tersebut, mungkin ini adalah hikmahnya untuk diberi peluang kedua kepada rakyat Kemaman supaya membuat satu keputusan yang betul untuk mereka dan seluruh Negeri Terengganu,” katanya ketika sesi wawancara di Facebook UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu itu yakin bahawa dengan adanya PRK pada kali ini rakyat boleh boleh melakukan penilaian sebaiknya.

“Pada saya, pemikiran rakyat sekarang ini sudah jauh berubah bukan seperti pada tahun 80-an dan 90-an. Rakyat pun sudah boleh berfikir. Kalau dahulu kita dapat lihat UMNO/BN mencipta kejayaan dalam beberapa siri pilihan raya.

“Sebagai contoh di Melaka dan Johor. BN hebat… kita menang besar. Tetapi, sebelas bulan selepas itu kita ‘gone’. Jadi, saya melihat pemikiran rakyat sudah berubah apatah lagi mereka sendiri pun sudah dapat menilai mana yang betul dan salah.

“Dengan adanya PRK ini pun mereka boleh menilai. Walaupun ada tohmahan-tohmahan kepada kita, tetapi kita berharap rakyat membuat satu keputusan yang tepat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut merayu kepada warga Kemaman supaya memberikan peluang kepada calon UMNO/BN agar pentadbiran di kawasan tersebut dapat diselarikan dengan pusat.

“Saya merayu kepada orang Kemaman supaya memberi peluang kepada seorang wakil yang menjadi penghubung di antara kerajaan negeri dan pusat. Kita sedia maklum kerajaan pusat sekarang ini di bawah Kerajaan Perpaduan dan kerajaan negeri pulak berbeza.

“Jadi, sangat perlu kepada orang Kemaman dan Negeri Terengganu supaya memberi peluang kepada tokoh serta calon kita untuk dimenangkan pada PRK kali ini… bagi kepentingan Kemaman serta seluruh Negeri Terengganu,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.