Pas Cukup-Cukuplah Amalkan Politik Kebencian… UMNO Tetap Teguh Pegang Prinsip Perjuangan – Mahdzir

KEMAMAN, 28 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menempelak pihak yang tanpa henti mengamalkan politik kebencian dan suka menimbulkan persepsi dengan mengatakan UMNO telah lari dari perjuangannya.

Katanya, perkara sedemikian yang berlarutan sejak dahulu lagi sepatutnya tidak lagi menjadi amalan kerana apa yang penting adalah penawaran sesebuah parti politik untuk kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat.


“Masalah politik kita hari ini adalah politik kebencian. Apa yang dibawa oleh Pas, Perikatan Nasional (PN) ini ada elemen politik kebencian. Apabila politik kebencian itu ada unsur-unsur yang dibawa persepsi yang akhirnya untuk menunjukkan seolah-olah bahawa yang berjuang atas nama agama, bangsa hanya daripada Pas atau PN.

“UMNO yang sudah 70 tahun, 60 tahun jadi kerajaan ini pada mereka telah jauh menyimpang… sudah tidak jadi parti (perjuangkan Islam) dalam arus perdana. Sebab itu saya katakan tidak boleh… anda tawarkanlah apa yang hendak ditawarkan… kita tawarkanlah apa yang hendak kita tawarkan kepada rakyat, dan rakyat membuat penilaian di situ.

“Tapi kalau kita dah mula dengan elemen kebencian dan persepsi dan ada yang termakan dengan elemen itu yang dalamnya ada perkaitan dengan perkauman. Itu perkara yang tidak sesuai di zaman ini, dah masuk zaman IR 4.0, zaman digital tapi kita masih lagi bawa soal agenda politik kebencian,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini.

Sebagai rekod, selain menjunjung titah tuanku bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH), UMNO turut meletakkan syarat utama mengenai kesucian agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, kepentingan Bahasa Melayu dan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu yang mesti dipertahankan dan kesemua syarat tersebut dipersetujui oleh rakan-rakan parti dalam PH.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata penjelasan demi penjelasan telahpun dibuat dan berharap sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman ini, rakyat dapat berfikir dengan sebaiknya sumbangan UMNO kepada perjuangan untuk agama Islam, bangsa dan negara ini.

“Kita harap dengan tempoh yang pendek ini, masyarakat Kemaman menerima UMNO dan BN bukanlah parti yang telah lari daripada perjuangan. UMNO dan BN kekal dengan perjuangannya agama, bangsa dan negara. Tidak pernah lari.

“UMNO berkawan dengan sesiapa pun, tidak pernah lari dan kekal dengan perjuangannya… tetapi yang salah mereka kata UMNO telah lari. UMNO berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Abata (agama, bangsa dan tanah air) kekal di situ.

“Saya merayu pengundi di Kemaman dapat fikir bahawa UMNO bukan lari dari perjuangan, jauh menyimpang kerana kita kawan dengan PH dan parti-parti yang berada di dalamnya. Dalam gabungan kerajaan kita membina sebuah kerajaan… bila kita menjadi kerajaan, UMNO kekal dengan perjuangan,” katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila wujud bukti perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Raja Mohamed Affandi merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.