Manfaatkan Undi Untuk Kesejahteraan Rakyat Kemaman, Pilih Selari Kerajaan Pusat

KEMAMAN, 28 Nov – Para pengundi yang bakal menunaikan tanggungjawab pada 2 Disember depan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman diminta untuk memanfaatkan ruang dan peluang yang ada bagi kesejahteraan rakyat Kemaman keseluruhan.

Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi yang turut bersama berkempen membantu calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, calon yang BN tawarkan mempunyai kualiti terbaik.

“Rakyat sewajarnya memilih pemimpin yang mempunyai kualiti seorang ketua, iaitu bukan hanya hebat berkata-kata tetapi juga memiliki integriti teguh bagi membawa suara rakyat.

“Inilah peluang untuk orang Terengganu memilih satu-satunya ahli parlimen bagi mewakili suara mereka.

“Apa yang penting adalah utamakan orang tempatan, yang tahu selok-belok Kemaman dan sedia berkhidmat sepenuh masa berbanding calaon Pas yang tentunya selepas ini akan balik ke DUN sendiri, masa yang sibuk kerana bukan sahaja jadi ADUN tetapi juga Menteri Besar Terengganu, maka tentunya masa yang ada amat terhad,” katanya kepada UMNO Online.

Ujar Jamal, dalam keadaan Negeri Terengganu menjadi pembangkang untuk kerajaan Persekutuan maka inilah peluang untuk pengundi jadikan Kemaman sealiran dengan kerajaan Pusat.

“Biarlah Parlimen Kemaman ini seiring dengan kerajaan Pusat iaitu Kerajaan Perpaduan agar pelbagai kerumitan dapat disalurkan dengan mudah.

“Calon yang BN tawarkan ini sangat baik, mempunyai semangat juang dan bersedia sepenuhnya untuk berkhidmat kepada rakyat, maka tak ada sebab untuk pengundi Kemaman menolak Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Jamal memaklumkan bahawa beliau bersama-sama anggota berkempen dari rumah-ke rumah, termasuk berkunjung ke Pusat Daerah Mengundi di sini bagi memastikan kemenangan kelak berpihak kepada BN.

“Alhamdulillah sepanjang berkempen di sini, kita menerima sambutan yang amat baik dari masyarakat setempat malah kita yakin pera pengundi juga akan berpihak memberikan sokongan kepada BN.”

Dilaporkan, PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.