Hanya Orang Kemaman Mampu Ubah, Usah Percaya Anasir Negatif Lawan

KEMAMAN, 28 Nov – Penduduk Kemaman perlu menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen sebagai medan mengubah landskap pembangunan kawasan mereka, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Katanya, untuk itu adalah penting mempunyai seorang ahli Parlimen yang mampu membawa suara mereka ke Kerajaan Perpaduan.

“Kita mengharapkan satu perubahan kepada orang Kemaman kerana hanya mereka dapat melakukannya.

“Semoga Kemaman ini dapat dimajukan oleh seorang wakil rakyat yang ada kesinambungannya dengan kerajaan pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas program santai badminton di Dewan Kampung Pengkalan Pandan, Chukai.

Dalam pada itu bercakap berkenaan sentimen yang dibawa pihak lawan, beliau berkata bukan suatu yang janggal untuk Pas dilihat sebagai ‘over confidence’ (terlalu yakin).

Namun bagi Nurul Amal, tidak mustahil juga bahawa ada kejutan pada PRK Kemaman ini.

“Saya tak mahu keluarkan perkataan macam itu sebab kita tidak tahu sedikit sebanyak kemenangan dan kekalahan adalah tanggungjawab pemimpin.

“Apa yang kita buat adalah berusaha ke arah kemenangan yang mereka nak terlalu yakin suka hati mereka, sebab dia rasa Kelantan dan Terengganu ini adalah negeri dia.

“…tapi tidak ada benda yang mustahil kalau rakyat Kemaman mahukan perubahan mereka boleh ubah untuk PRK kali ini. Dia (Pas) bercakap macam dia lebih tahu daripada takdir sebenar, kita tidak diajar bercakap begitu,” ujar beliau.

Menyentuh berkenaan pelaksanaan gerak kerja Puteri UMNO, beliau berkata jentera giat mendekati pelbagai lapisan wanita muda berkempen memperkenalkan calon BN.

“Puteri punya gerak kerja adalah memfokuskan orang muda yang berumur 40 tahun ke bawah dan ada aktiviti untuk mengeluarkan pengundi-pengundi tempatan.

“Respon daripada mereka terhadap calon kita tiada negatif, alhamdulillah penerimaan sangat baik daripada orang ramai,” katanya.

PRK ini perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Untuk rekod BN mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, 66 tahun.

Beliau berdepan cabaran dua penjuru dengan calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Raja Mohamed Affandi berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.