Raja Mohamed Affandi Tokoh Disegani Di Mindef, Sentiasa Prihatin Dengan Anak Buah

KEMAMAN, 27 Nov – Ketua Penerangan UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal menyifatkan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mempunyai ketokohan tersendiri sebagai pemimpin.

Bercerita pengalamannya yang pernah bersama dengan bekas Panglima Angkata Tentera Malaysia (ATM) di Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 2014 hingga 2018, beliau berkata Raja Mohamed Affandi cukup disenangi kerana sifatnya yang prihatin dengan kebajikan warga kerja badan beruniform itu.

“Saya cukup mengenali beliau sebagai seorang Panglima ATM yang begitu tegas, berwawasan namun yang penting cukup mengambil berat kebajikan orang-orang di bawah beliau.

“Beliau seorang yang sangat rendah diri walaupun kedudukan yang utama, orang kelima terpenting dalam negara dengan jawatan tertinggi ketika itu, jadi ketokohan beliau ini sangat disajung tinggi.

“Saya rasa amat bertuah rakyat Kemaman untuk memiliki wakil rakyat seperti ini dan mereka perlu cipta sejarah ahli Parlimen pertama dalam kalangan Panglima ATM yang sememangnya sudah terlatih dengan disiplin tentera cukup ketat dan seorang yang sangat berilmu, tegas bukan senang hendak capai ke tahap itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online mengiringi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada program ramah mesra bersama pengundi di Pusat Daerah Mengundi Kuala Kemaman di Chukai bersempena Pilihan Raya Kecik (PRK) Parlimen Kemaman.

Fadzli yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Dong dalam pada itu berharap pengundi di sini memilih Raja Mohamed Affandi sebagai wakil rakyat mereka memandangkan beliau merupakan anak jati Kemaman.

“Elok pilih orang tempatan mewakili kita yang lebih tahu selok-belok Kemaman, lebih mengenali orang di sini dan beliau pula memang telah terbukti mempunyai pengalaman yang cukup hebat.

“…. dan sudah pasti dengan sifatnya sebagai orang di sini akan beri kelebihan kepada penduduk di sini. Apabila dipilih nanti beliau semestiybersungguh-sungguh menjaga orang di kawasannya

“Buatlah pilihan yang bijak dan jangan terpengaruh dengan dakyah tertentu, semua tahu beliau tidak ada isu lain itu yang paling penting sebaliknya calon sebelah sana kita tahu muncul macam-macam isu terpalit,” ujar beliau.

Untuk rekod, Raja Mohamed Affandi merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan.

Beliau berhadapan dua penjuru dengan calon Pas, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.