Pilih Calon Mampu Bawa Suara Kemaman Ke Persekutuan, Terus Agenda Pembangunan – Shahaniza

KEMAMAN, 27 Nov – Pengundi di Kemaman perlu memilih wakil rakyat yang mampu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan di kawasan, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Katanya, melihat kepada itu calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mempunyai kelebihan tersebut dibandingkan dengan calon diketengah Pas iaitu yang juga Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Fikir sedalamnya sebelum terjemahkan undi, penting untuk mereka pilih calon BN kerana kita tahu kerajaan Pusat adalah Kerajaan Perpaduan jadi buat apa mempunyai wakil rakyat pembangkang?

“Walaupun betul kerajaan negeri adalah kerajaan Perikatan Nasional tetapi hendak membawa suara mereka bukan hanya bawa suara di Parlimen.

“Calon yang sebelah sana itu seorang Menteri Besar, pastinya akan begitu sibuk dengan kawasan Dewan Undangan Negeri dan dia pula bukan orang tempatan dengan tugas Menteri Besar lagi.

“Saya rasa nak banding dengan calon kita yang sekiranya menang akan memberikan tumpuan sepenuhnya bukan hanya pembangunan di Kemaman ini tetapi juga bagi memastikan rakyat di kawasan terus terbela,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui melakukan sesi taqarrub bersama pengundi tempatan di Kampung Dusun Nyior, Chukai bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Shahaniza yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran berkata dalam pada itu berkongsi pendekatan yang dilakukan jentera beliau sepanjang berkampung di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jakar.

Menurut beliau antara tumpuan diberikan mereka adalah pergi ke rumah pengundi dan memperkenalkan calon yang mewakili BN.

“Alhamdulillah jentera UMNO Bahagian Maran telah mula berkampung sejak dari penamaaan calon dan kita dipertanggungjawabkan untuk menjaga UMNO Cawangan Dusun Nyior di PDM Jaka yang mempunyai 2,000 lebih pengundi, pengundi Melayu dan Cina sama banyak.

“Kita akan fokus mencari dan menambah seramai mungkin pengundi, dengan gerak kerja yang disusun untuk mencari pengundi rumah ke rumah dilaksanakan bersama dengan jentera tempatan jadi

“Saya difahamkan oleh jentera keadaannya bukan mudah kerana ada rumah pengundi yang tak mahu jawab salam, tak mahu buka pintu pun ada kerana nampak jentera UMNO yang datang tapi saya tengok semangat jentera masih lagi tinggi dan saya bagitahu mereka kita teruskan usaha untuk berjumpa seramai mungkin pengundi,” ujar beliau.

BN pada PRK ini mempertaruhkan Raja Mohamed Affandi, 66 tahun yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera (ATM) dan berkhidmat selama 43 tahun bersama badan beruniform itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.